KOTA KINABALU - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali memberi jaminan untuk membantu keluarga Allahyarham Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub.
Katanya, untuk peringkat awal bantuan dikhususkan membabitkan pendidikan anak-anak Allahyarham Awang Askandar.
"Pengurusan jenazah sudah hampir selesai dan sebentar lagi jenazah dibawa untuk upacara pengebumian dan selanjutnya kita membantu APM khususnya dalam pengurusan tentang kelayakan perjawatan beliau dalam kerajaan.
"Kita juga membantu dalam pengurusan untuk kita menuntut insurans kepada Allahyarham untuk kita serahkan kepada warisa beliau dan pada masa sama kita juga tengah usaha untuk mendapatkan sumbangan daripada beberapa pihak, Insya-ALLAH esok kita muktamadkan.
"Pada peringkat awal ini kita membantu khususnya dalam pengurusan keluarga dalam masa terdekat dan juga untuk anak-anak Allahyarham khususnya dalam aspek pendidikan," katanya ketika ditemui pemberita pekarangan MAS Kargo, di sini pada Sabtu.
Beliau sebelum itu turut hadir bagi menyambut jenazah Awang Askandar yang baru tiba di Kota Kinabalu.
"Arwah ini mempamerkan satu semangat komitmen dan iltizam yang sangat tinggi bukan hanya sebagai penjawat awam tetapi sebagai 'role model' seorang kakitangan Pegawai APM yang begitu komited.
"Beliau terlibat dalam ekspedisi ini tidak lain tidak bukan adalah untuk membawa semangat Malaysia Boleh untuk menawan puncak tertinggi," katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin berkata, kerjasama daripada pihak kedutaan besar juga amat baik dan lancar.
"Alhamdulillah, kita berpuas hati dengan kerjasama yang telah diberikan oleh pejabat kedutaan besar yang berada di Kathmandu.
"Di Wisma Putra juga kita telah menubuhkan 'war room' bilik operasi kita selama 24 jam untuk memudahkan penyaluran maklumat semasa membawa balik jenazah ini," katanya.
Sebelum itu, Awang Askandar dilaporkan meninggal dunia akibat terjatuh ketika mendaki Gunung Everest pada 19 Mei lalu semasa berada pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut iaitu hanya 20 minit sebelum sampai ke puncak.