Mohd Isa sah sertai UMNO semula

Iklan
Mohd Isa

SEREMBAN - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan,Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menyertai semula UMNO selepas keluar daripada parti itu pada tahun 2018.

Katanya, perkara itu telah diputuskan pada Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada Jumaat yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Iklan
Iklan

" Ya... ia diputuskan oleh Majlis Tertinggi UMNO semalam, ia disahkan (penyertaan Mohd Isa dalam UMNO)," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma UMNO di sini pada Sabtu.

Mohd Isa, 74, yang juga merupakan bekas Ahli Parlimen Jempol itu membuat keputusan keluar parti pada tahun 2018 selepas mengumumkan bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Iklan

Sementara itu, Mohd Isa yang turut ditemui di lokasi sama menjelaskan bertanding Bebas ketika itu kerana UMNO tidak mahu bertanding (PRK).

"Saya tanding bebas masa tu sebab UMNO tak nak bertanding, jadi saya masuk sahaja. Tetapi masa itu bukanlah serius sangat," katanya.

Iklan

Mengulas mengenai penyertaan semula dalam UMNO, Mohd Isa berkata, telah mengemukakan permohonannya pada bulan Julai tahun lalu.

"Ia termasuk membantu kempen pada beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini. Sekarang dalam ramai-ramai yang dah lari (keluar UMNO) saya masuklah UMNO balik," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, beliau memang mengharapkan pemimpin veteran UMNO seperti Tan Sri Mohd Isa dan ramai lagi di Negeri Sembilan dapat bergerak sebagai satu pasukan dalam membantu UMNO dan Barisan Nasional (BN) menghadapi PRN akan datang.

"Pemimpin-pemimpin lama, bekas wakil rakyat, bekas ketua UMNO bahagian yang telah lama bersara dalam UMNO dan parti, saya akan jumpa dan buat libat urus supaya mereka boleh bantu parti," katanya.