Keputusan lepaskan Teong Kim bukan mudah - Abdul Azim

Iklan
Pengurusan Perak FC mengambil keputusan menamatkan khidmat Teong Kim sebagai ketua jurulatih berkuat kuasa serta-merta. - Foto Bernama

PENAMATAN kontrak Datuk Lim Teong Kim daripada mengendalikan Perak FC dibuat secara teliti setelah mengambil kira pelbagai aspek termasuk elemen perniagaan.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, perkara itu diputuskan menerusi satu mesyuarat Lembaga Pengarah dan Exco Perak FC yang bermesyuarat dua hari lalu.

Iklan
Iklan

Katanya, perbezaan haluan antara pengurusan Perak FC dan Teong Kim turut dikenal pasti menjadi punca jurulatih itu dipecat.

Tambahnya, sebagai entiti perniagaan, pertimbangan yang dibuat pastinya berbeza berbanding cara lama.

Iklan

"Keputusan dibuat dua hari lepas selepas mesyuarat dengan Ahli Lembaga Pengarah dan Exco Perak FC yang memakan masa dua jam setengah. Ahli Lembaga Pengarah ada lima orang, Exco ada tujuh lapan orang dan semuanya beri hujah termasuk ada yang pertahankan Teong Kim.

"Kita berpendapat mungkin Teong Kim tidak sehaluan dengan kita. Kena ingat bahawa kita lihat (Perak FC) sebagai satu perniagaan, bukan macam dahulu di bawah PAFA (Persatuan Bola Sepak Perak). Pasukan ini dimiliki syarikat (XOX) yang tersenarai di bursa saham.

Iklan
Abdul Azim

"Semua ini kita ambil kira dan jika ia perniagaan, pertimbangannya juga agak berlainan. Kita kena lihat sama ada ia akan jejaskan nama syarikat, jejaskan keuntungan syarikat atau pun jejaskan reputasi syarikat.

"Kita tengok banyak aspek, namun yang penting adalah perniagaan kita kerana tanpa perniagaan, kita tidak dapat duit untuk pemain dan buat bayaran lain. Jadi, kalau tidak sehaluan dengan kami, susahlah,” katanya.

Perak FC dalam satu kenyataan pada Khamis mengumumkan Yusri Che Lah akan mengambil alih tugas sebagai jurulatih sementara.

Dalam masa sama, Abdul Azim menjelaskan perbincangan bersama Teong Kim sudah pun dibuat beberapa kali dan keputusan yang dibuat itu adalah sukar.

"Tiada kata dua, tetapi saya sendiri sudah jumpa dia beberapa kali, duduk berbincang dan mohon dia lihat balik pasukan.

"Kita bincang, tengok data, statistik dan semua benda, tetapi percayalah untuk buat keputusan ini bukan mudah,” katanya.