Wahyu dan saintifik, solusi kesihatan mental

Iklan
Dari kiri: Ahmad Rostam, Rozanizam, Alizi bersama buku 'Healing The Invisible Wound'.

KUALA LUMPUR - Al-Quran dan hadis bukan sahaja datang kepada manusia menerangkan tentang ketuhanan dan syariat, tetapi turut menjadi 'pengubat' kepada masalah kesihatan mental.

Justeru, buku 'Healing The Invisible Wound' membawakan kepada pembaca tentang solusi mengurus tekanan hidup termasuk keresahan dan kesedihan akibat kisah lampau serta depresi dengan pemahaman menerusi kedua-dua sumber wahyu berkenaan.

Iklan
Iklan

Karya tersebut menggandingkan hasil penulisan bersama dua pakar psikiatri iaitu, Dr Rozanizam Zakaria dan Dr Ahmad Rostam Md Zin serta pakar psikologi organisasi Dr Alizi Alias.

Menurut Ahmad Rostam, masalah kesihatan mental tidak seharusnya dilihat dengan stigma negatif bahawa ia berkaitan dengan kelemahan iman seseorang.

Iklan

"Sebenarnya ramai hamba ALLAH SWT yang dinukil di dalam al-Quran seperti para nabi berhadapan dengan cabaran dan ujian yang serupa dengan kebanyakan kita.

"Di situ sahaja telah ada banyak contoh penyelesaian yang didatangkan. Cabaran yang dihadapi bukan memperlihatkan mereka lemah tetapi betapa tingginya iman yang ada.

Iklan

"Jadi, kita nak sampaikan kepada mana-mana insan yang menghadapi ujian yang terkadang berat, itu bukanlah sesuatu yang negatif bahkan ia menjadi isyarat bahawa anda seorang yang hebat," katanya semasa sesi temu mesra penulis buku itu di sini pada Sabtu.

Ujar bapa kepada empat cahaya mata berkenaan, pembaca dapat menelusuri kaedah penyelesaian masalah tersebut dengan pengamalan ibadah seharian dan juga kaedah praktikal lain.

"Ia bukan satu huraian falsafah atau penceritaan yang jauh dari konteks hidup manusia," kata anak kelahiran Jempol, Negeri Sembilan itu.

Dalam pada itu, Alizi berkata, ramai orang yang salah faham tentang Islam dan berpandangan tiada solusi dapat diberikan olehnya kepada mereka yang mempunyai masalah mental.

Justeru, beliau menzahirkan kesyukuran kerana dapat bergandingan dengan penulis lain yang mempunyai kepakaran sama bagi menangkis salah faham berkenaan.

"Buku ini juga boleh digunakan oleh para agamawan sebagai rujukan bagi berhadapan dengan individu yang mempunyai masalah ini," ujarnya.