Tekankan doktrin pengasingan kuasa dapat perangi rasuah

Iklan
Nurhayati ketika berucap semasa siri kedua kuliah umum bertajuk Rasuah Sebagai Masalah Politik di Auditorium Tun Mohamed Suffian, Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya (UM) pada Sabtu.

KUALA LUMPUR - Reformasi institusi yang menekankan doktrin pengasingan kuasa penting bagi memerangi rasuah dalam politik.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia #RasuahBusters, Nurhayati Nordin berkata, ia merupakan prinsip yang perlu diutamakan dalam sistem demokrasi selain wajar dipertingkatkan serta dihormati oleh setiap pemimpin.

Iklan
Iklan

"Doktrin itu merealisasikan prinsip semak dan imbang dengan setiap cabang melibatkan eksekutif, perundangan, dan kehakiman mempunyai kuasa untuk menyemak dan mengimbangi satu sama lain, semuanya dalam rangka kerja disediakan oleh Perlembagaan.

"Selain itu, politik harus memainkan peranan dalam pembangunan ekonomi dan kemakmuran negara, menyatupadukan atau mengukuhkan masyarakat selain memastikan keselamatan, melindungi rakyat daripada bahaya serta meningkatkan kualiti hidup harian mereka.

Iklan

"Jika kita tidak menghentikan rasuah politik, kita boleh membayar harga sebuah helikopter untuk mendapatkan sebuah kereta manakala harga sebuah kereta bagi mendapatkan sebuah basikal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasasiri kedua kuliah umum bertajuk Rasuah Sebagai Masalah Politik di Auditorium Tun Mohamed Suffian, Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya (UM) pada Sabtu.

Iklan

Mengulas lanjut, Nurhayati berkata, perkara tersebut berlaku apabila rasuah berleluasa dalam kalangan pegawai atau kumpulan politik yang bersekongkol dengan pihak tertentu untuk membentuk kartel yang akhirnya merugikan negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, penguatkuasaan undang-undang yang tidak berkesan, nepotisme, kronisme, dan kekurangan ketelusan mewujudkan ruang bagi membolehkan rasuah berkembang maju dalam politik.

Katanya, ruang-ruang tersebut menimbulkan budaya yang memupuk rasuah dalam landskap politik.

"Apabila kepentingan peribadi diutamakan, penyalahgunaan kuasa dan kedudukan boleh membawa kepada ketidakadilan dan penghakisan keadilan yang sah. Akhirnya, politik menjadi lembah rasuah yang mencemarkan nama baiknya," ujarnya.

Sementara itu, Nurhayati berkata, melalui forum berkenaan, pihaknya berhasrat untuk meningkatkan kesedaran kepada pemimpin atau ahli politik untuk mempunyai kejujuran dan integriti melalui platform yang bertanggungjawab dari segi politik demi kebaikan rakyat.

"Marilah kita semua menjadi generasi baharu yang memulakan revolusi nilai ini serta membina integriti politik untuk membasmi rasuah.

"Dengan penglibatan ahli panel dan moderator yang pada hari ini, kita akan mendapat pelbagai pandangan yang boleh membimbing semua pihak dalam mempersiapkan diri, keluarga, dan negara untuk menjadi lebih baik dan bebas daripada rasuah," jelasnya.