Azizulhasni sambar emas ketiga dalam tempoh 24 jam

Iklan
'The Pocket Rocketman’ (tengah) tampil dengan kayuhan bertenaga untuk menewaskan Sergey Ponomaryov dari pasukan Astana yang merangkul perak sementara pelumba muda negara, Mohd Akmal membawa pulang gangsa. - Foto Facebook Azizulhasni

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang merangkul pingat emas ketiganya dalam tempoh 24 jam selepas mendominasi saingan keirin lelaki Piala Trek Antarabangsa Hong Kong II 2023 di Velodrom Hong Kong, malam Sabtu.

Atlet berusia 35 tahun yang diberi julukan ‘The Pocket Rocketman’ itu tampil dengan kayuhan bertenaga untuk menewaskan Sergey Ponomaryov dari pasukan Astana yang merangkul perak sementara pelumba muda negara, Mohd Akmal Nazimi membawa pulang gangsa, demikian menurut www.uci.org.

Iklan
Iklan

Seorang lagi pelumba elit negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam.

Semalam, Mohd Azizulhasni yang juga juara dunia keirin 2017 dan pemenang pingat perak keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020, menyambar dua emas masing-masing dalam acara pecut serta keirin pada Piala Trek Antarabangsa Hong Kong I yang hanya berlangsung selama sehari.

Iklan

Saingan pada Sabtu menyaksikan pelumba wanita sensasi negara, Nurul Izzah Mohd Asri, yang merangkul emas acara pecut semalam, gagal mengulangi pencapaiannya apabila meraih gangsa dalam acara sama.

Piala Trek Antarabangsa Hong Kong II 2023 berlangsung selama dua hari bermula Sabtu. - Foto Bernama

Iklan