BEREGU muda lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun meneruskan cerita 'dongeng mereka' apabila mara ke pentas final Masters Malaysia 2023.
Pada aksi separuh akhir di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi, Wei Chong-Kai Wun menewaskan beregu nombor sembilan dunia dari Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin 21-17, 22-20 dalam tempoh 46 minit.
Kejayaan mara ke pentas final itu dianggap cukup manis buat Wei Chong-Kai Wun selepas mereka menyingkirkan bekas juara dunia dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dalam aksi suku akhir pada Jumaat.
Malah, kejayaan itu amat signifikan buat kem Malaysia selepas beregu lelaki utama negara yang juga juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tumbang di tangan Leo Rolly-Daniel di peringkat suku akhir.
Dalam aksi final pada Ahad, Wei Chong-Kai Wun yang menduduki ranking ke-26 dunia bakal membuat perhitungan dengan beregu Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae.
Terdahulu, beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah menceriakan ribuan penyokong sendiri yang membanjiri Axiata Arena apabila mara ke pentas final.
Pearly-Thinaah mengesahkan tiket final menjadi milik mereka selepas menewaskan beregu berpengalaman Korea Selatan, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong 21-19, 23-21 dalam aksi separuh akhir.
Lawan Pearly-Thinaah di pentas final adalah satu lagi wakil Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee yang menewaskan beregu Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara, 21-19, 21-14 dalam satu lagi aksi separuh akhir.