Menyingkap keterampilan Pak Samad

Iklan
Buku karya Dr Azhar Wahid ini dikelompokkan dalam genre kritikan sastera.

BUKU Hegemoni Kepengarangan A Samad Ismail (HKASI) dikelompokkan dalam genre kritikan sastera. Kemunculan karya Dr Azhar Wahid itu tepat pada waktunya kerana dunia kritikan sastera kebangsaan sedang kegersangan.

Hampir tidak ada sasterawan yang sanggup menulis buku kritikan sastera mutakhir ini, malah sesi diskusi dan bicara karya kian tenggelam ditelan waktu.

Iklan
Iklan

Memang benar fenomena pasang-surut acap kali melanda stamina pengarang untuk melahirkan karya, namun bidang ini tidak harus digersangkan!

Justeru kesanggupan Azhar menyirami ranah kegersangan dunia kritikan sastera tanah air amat dihargai, malah pemilihan topik perbicaraan tentang A Samad Ismail (ASI) menukangi novel dan menganalisis keterlibatan beliau dalam bidang kewartawanan secara komprehensif serta ilmiah sangat berguna kepada pengkaji, peneliti sastera, penteori sastera, penulis, pengkritik, sarjana mahupun kepada pencinta serta pengamal sastera. Buku HKASI diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun lalu.

Iklan

HKASI mengetengahkan gabungan teori strukturalisme genetik (Goldmann) dan hegemoni (Antonio Gramsci) bagi menganalisis novel-novel ASI yang terhasil sepanjang tempoh tahun 1966 hingga 1975.

ASI dilahirkan di Singapura pada 18 April 1924 dan popular dengan gelaran Pak Samad (Tan Sri A Samad Ismail) dalam kalangan wartawan dan orang sastera.

Iklan

Menceburi bidang kewartawanan sebagai pemberita pelatih dengan akhbar Utusan Melayu pada 1941 ketika berusia 16 tahun. Pernah memasuki penjara Outram, Singapura atas tuduhan menulis berita dan rencana anti-British.

Pada 1951, ASI dipenjara oleh British di bawah Undang-undang Darurat ekoran daripada Peristiwa Natrah selama dua tahun.

Selepas bebas, beliau berkhidmat semula dengan Utusan Melayu sehingga 1958 dan seterusnya dengan akhbar Straits Times Singapura sebagai Pengarang Berita Harian.

Pada 1972, ASI dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan di New Straits Times tetapi malangnya pada 1976, beliau ditahan di bawah Undang-undang Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana dituduh bersimpati dengan komunis dan dibebaskan pada 1981.

Pada 1982, beliau dipanggil semula oleh New Straits Times untuk menjadi Penasihat Sidang Pengarang sehingga persaraannya pada Jun 1988.

ASI dilantik sebagai Karyawan Tamu selama dua tahun di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (1991-1993), kemudian mulai Oktober 1993, beliau menjadi Karyawan Tamu di Jabatan Penulisan Universiti Malaya. Pada tahun 2000, ASI dilantik semula sebagai Penasihat Jabatan Pengarang.

Novelis

ASI dikenali sebagai novelis terkemuka tanah air. Antara hasil karyanya ialah novel Patah Sayap Terbang Jua (1966), Tembok Tidak Tinggi (1967), Hud (1967), Kail Panjang Sejengkal (1967), Orang Jauh (1968), Menduga Lautan Dalam (1968), Menimba Yang Jernih (1968), Detik-detik Cemas (1969), Orang Lama (1969), Hussein Zed (1970) dan Sutinah (1975).

Dalam bidang politik, ASI pernah menyandang jawatan Presiden Kesatuan Melayu Muda (KMM) pada 1945, kemudian bersama-sama bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew menaja penubuhan Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada 1953. Pada 1958, beliau berhenti daripada PAP bagi memasuki UMNO Singapura dan dilantik sebagai Pengerusi Tetap.

Buku HKASI mendedahkan bahawa ASI merupakan satu-satunya wartawan Melayu yang menggunakan sastera sebagai alat untuk membawa perubahan kepada bangsanya dalam bidang bahasa dan sastera.

ASI memanipulasikan pengalaman kewartawanannya yang dipertajamkan dengan daya kreatif, imaginasi dan gaya bahasa tersendiri bagi menghasilkan novel di samping diperkukuhkan dengan teknik penulisan, disiplin diri dan sikap ingin melakukan pembaharuan dalam berkarya.

Keterampilan ASI dalam bidang kewartawanan yang berhubung kait dengan pergolakan politik kontemporari menjadikan olahan karyanya lebih bertenaga dan autentik.

Goldmann (1980) menegaskan seseorang novelis itu mempunyai motif dan matlamat yang sama iaitu mengungkapkan sesuatu persoalan masyarakat itu dalam bentuk novel agar menjadi renungan dan pemikiran kepada pembaca.

Meresap semangat

Menyedari hakikat itu, pengarang HKASI, Azhar berpendapat penglibatan ASI dalam bidang kewartawanan bukan sahaja mendedahkan beliau kepada profesion itu sendiri tetapi lebih penting ialah meresapkan semangat dan api perjuangan menentang penjajahan.

Perjuangan ASI disasarkan kepada nasionalisme menentang kaum imprealis dan penjajah seperti yang terbukti ketika meletusnya peperangan dan penjajahan tanah air.

Sentuhan hati kecil ASI terhadap perjuangan kemerdekaan tanah air dan penentangan penjajah digarap dalam Tembok Tidak Tinggi dan begitu juga penglibatan dalam revolusi Indonesia dicerminkan dalam Patah Sayap Terbang Jua.

Hal itu bertepatan dengan pandangan Goldmann, seseorang novelis berbicara dalam karyanya sebagai jurubicara kelasnya, ditentukan oleh situasi sosialnya sebagai manusia dan situasi itu dalam karya pengarang yang secara optimum serta jelas terbayang dalam sesuatu karya.

Sehubungan itu, HKASI menampilkan pandangan Goldmann yang melihat sesebuah karya sastera tidak harus disimpulkan sebagai hasil ciptaan seseorang pengarang semata-mata tetapi merupakan sebuah struktur mental kelompok (trans-individu).

Dengan kata lain, karya sastera adalah hasil kesedaran, idea, aspirasi, nilai dan pola perilaku kelompok sosial tersebut.

Justeru dalam konteks kenyataan di atas, ASI berjaya membuktikan kesahihan seseorang pengarang mewakili anggota sosial yang mempunyai hubungan dengan kelasnya dan turut terlibat dalam perubahan sosial dan politik yang besar dalam masyarakat kelompok sosial diwakilinya.

ASI sebagai pengarang memiliki tanggungjawab moral terhadap masyarakatnya, menumpukan masalah hubungan antara karya dengan realiti sosial dan realiti ekonomi masyarakat Melayu.

Umumnya, karya seseorang pengarang mencerminkan kehendak masyarakat kelompok sebagaimana kata Goldmann yang merupakan manifestasi dan interpretasi terhadap persoalan masyarakat serta keadaan sekeliling.

Oleh itu berasaskan teori hegemoni dan teori strukturalisme genetik, pengarang HKASI membincangkan 11 novel ASI secara tekstual dengan menemukan tiga kesimpulan iaitu karya sastera mampu mengetengahkan persoalan masyarakat.

Kedua, ia (karya) juga mencerminkan sosiobudaya masyarakat kontemporari dan kesimpulan ketiga ialah kajian itu menjadi teras perbincangan yang berkaitan dengan kemerdekaan, etika kewartawanan, kepentingan bahasa Melayu serta perubahan nilai budaya.

Natijahnya, HKASI amat sesuai dijadikan teks kajian dan rujukan oleh pengamal sastera, malah penerbitannya menambah khazanah genre kritikan sastera yang amat diperlukan dalam mengangkat peradaban negara bangsa.

* M Zaki Arif ialah nama pena Dr Zabidin Haji Ismail. Beliau ialah penulis, penyunting, penerbit dan Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk)