PENGENDALI Borussia Dortmund, Edin Terzic mengakui kecewa dan menyifatkan tiada tiada pengakhiran yang menggembirakan selepas pasukannya gagal menjulang trofi Bundesliga.
Dortmund mendahului dua mata di puncak sebelum perlawanan terakhir liga, namun mereka diikat 2-2 di tempat sendiri oleh Mainz.
Ia sekali gus membolehkan Bayern Munich yang menang 2-1 di Cologne melonjak ke tangga pertama dan memenangi kejuaraan menerusi perbezaan gol.
Terzic dilihat menangis selepas wisel penamat dibunyikan ketika penyokong melaungkan nama jurulatih kelahiran Dortmund itu.
"Anda boleh lihat betapa sukarnya sukan ini. Ia amat menyakitkan dan tidak akan ada pengakhiran yang menggembirakan untuk kami tahun ini.
Kapten Bayern Munich, Thomas Mueller yang meraih gelaran ke-12 peribadinya dalam saingan Bundesliga dalam pada itu turut meluahkan rasa simpati ke atas Dortmund.
"Saya tidak memohon maaf kerana menjadi juara dan kami gembira dengannya tetapi apabila kamu memikirkan pasukan lain, maka saya sedikit kesal.
"Walaupun sekiranya mereka tidak mahukan atau perlu menghadapinya. Saya bukannya cuba untuk menunjukkan diri saya sebagai seorang berjiwa besar atau apapun tetapi ia sukar."
Dalam pada itu, Mats Hummels - satu-satunya ahli dalam skuad yang pernah meraih kejuaraan bersama Dortmund berkata:"Hari-hari berikutnya akan menjadi sangat sukar.
"Ia akan menjadi sukar untuk dihadamkan. Ia akan mengambil masa lebih daripada beberapa hari," katanya.