Ronaldo gagal menang liga bersama Al Nassr

Iklan
Ronaldo - Foto AFP

MUSIM pertama Cristiano Ronaldo di Arab Saudi berakhir tanpa trofi apabila Al-Nassr terpaksa akur Piala Liga Pro Saudi itu menjadi milik Al-Ittihad.

Ronaldo tiba di Riyadh pada Januari lalu selepas dilepaskan oleh Manchester United dan terpaksa berpuas hati di tempat kedua dalam saingan Liga Pro Saudi itu.

Iklan
Iklan

Keputusan seri 1-1 Al-Nassr dengan Ettifaq pada Sabtu menyaksikan Al-Ittihad muncul juara selepas menang 3-0 menentang Al-Feiha.

Ia sekali gus menyaksikan Al-Ittihad mendahului lima mata di puncak liga dengan baki satu perlawanan dan kejuaraan liga pertama sejak 2009.

Iklan

Dalam perlawanan itu, Al-Nassr mendominasi tetapi ketinggalan sebelum rehat separuh masa pertama apabila Youssef Niakate meledak gol sebelum disamakan oleh Luiz Gustavo pada minit ke-56.

Ronaldo telah menjaringkan 14 gol dalam 16 perlawanan liga sejak membuat penampilan sulungnya pada Januari.

Iklan

Dalam pada itu, Al-Ittihad menang mudah hasil dua gol penyerang Brazil, Romarinho serta gol minit ketiga dari Ahmed Sharahili.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pemain dan peminat atas sokongan mereka musim ini dan semua orang telah bekerja keras sejak awal," kata pengendali Al-Ittihad, Nuno Espirito Santo.