PARIS Saint-Germain (PSG) terus dominan apabila mencipta rekod baharu menang 11 kejuaraan Ligue 1 selepas seri 1-1 di Strasbourg awal pagi Sabtu.
Lionel Messi meledak gol pada minit ke-59 sebelum disamakan oleh Kevin Gameiro, namun keputusan itu memberikan PSG kelebihan empat mata berbanding pasukan di kedudukan kedua, Lens dengan baki satu perlawanan.
PSG mengatasi rekod 10 kejuaraan yang dicatatkan oleh Saint-Etienne pada 1981 dan mempertahankan gelaran musim lalu ketika di bawah bekas jurulatih Mauricio Pochettino.
Ia adalah gelaran kesembilan PSG dalam 11 musim terakhir, satu tempoh panjang telah mendominasi bola sepak Perancis di bawah pemilikan Qatar.
"Petang ini saya melihat hari terakhir musim dalam Bundesliga dan kamu boleh lihat yang ia sangat sukar untuk menjuarai liga, mana-mana pun liga.
"Semua juara bertahan dalam kesemua liga Eropah sering mempunyai masalah musim ini, jadi kami menghargainya.
"Ia satu gelaran dan kami harus tidak percaya yang ia satu kemenangan biasa, biarpun kami ini adalah Paris Saint-Germain," kata pengendali PSG, Christophe Galtier.
Mbappe terbaik Ligue 1
Kylian Mbappe berada dalam kelas tersendiri apabila dipilih sebagai pemain terbaik Ligue 1 kali keempat berturut-turut selepas membantu Paris Saint-Germain (PSG) melakar rekod memenangi kejuaraan Perancis ke-11.
Pemain berusia 25 tahun itu meledak 28 gol dalam liga musim ini dan berada di landasan terbaik untuk muncul penjaring terbanyak bagi musim kelima berturut-turut.
"Ia amat menggembirakan. Saya sentiasa mahu menang untuk memahat nama dalam sejarah liga.
"Walaupun ia menjadi cita-cita saya, tetapi tidak sangka dapat meraihnya secepat ini," ujar Mbappe di Paris pada Isnin.
Bintang Perancis itu menolak tawaran Real Madrid pada penghujung musim lalu dan memperbaharui kontrak tiga tahun untuk kekal bersama PSG.
Menurut laporan, kontrak Mbappe akan tamat tahun depan melainkan dia menggunakan pilihan untuk kekal sehingga 2025.
Mengulas masa depannya bersama PSG, Mbappe mahu kekal di Paris.
"Saya akan berada di sini lagi musim depan," katanya.
Pencapaian terbaik Mbappe itu mengatasi Zlatan Ibrahimovic yang memenangi anugerah tersebut sebanyak tiga kali bersama PSG.