BAGAN DATUK - Kerajaan akan merangka satu akta khas berkaitan industri ekonomi gig terutama perkhidmatan e-hailing bagi menjamin keselamatan sosial pekerja terlibat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbincangan bersama pihak Kementerian Sumber Manusia telah dijalankan bagi memperincikan akta berkenaan.
"Perkara ini akan mengambil masa yang agak panjang kerana ia membabitkan Jabatan Peguam Negara, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan yang terlibat dalam industri e-hailing ini.
"Dengan ada akta ini, saya fikir ia mesti memuaskan hati semua pihak. Yang penting asasnya adalah jaminan masa depan mereka," katanya.
Beliau diminta mengulas mengenai permintaannya terhadap KSM bagi mewujudkan akta khas e-hailing ketika berucap pada majlis penutupan Karnival Kerjaya MyFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) 2023 di Dewan Serbaguna Dato' Haji Abdullah Ahmad, Hutan Melintang di sini pada Ahad.
Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar; Exco Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan dan Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Mohammed.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, akta berkenaan turut melibatkan pelindungan pekerja sektor e-hailing bagi tempoh jangka panjang.
"Bukan sahaja dalam bentuk insurans tetapi dari segi faedah kepada mereka. Sekarang mereka memperoleh lebih tinggi sikit daripada gaji minimum tetapi mereka tidak dapat menimbulkan sebarang kemahiran yang membolehkan mereka bekerja dalam sektor lain.
"Kita harus memperkukuhkannya kerana ini bidang baharu selepas pandemik. Jadi kemahiran semula harus dilakukan dengan menjurus kepada bidang yang bersesuaian dengan kelulusan, pengalaman supaya jaminan sosial dan keselamatan dapat diberikan," katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga akan koordinasikan isu berkaitan gaji minimum bagi pekerja yang mengikuti program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Tambah beliau, ia berikutan peluang pekerjaan melibatkan kolar biru paling banyak ditawarkan, namun tidak dapat menarik perhatian pencari kerja.
"Terdapat permasalahan dari segi kesesuaian pekerjaan yang ditawarkan kerana gaji minimum yang diterima. Mereka yang dilatih di TVET juga menerima gaji RM1,500 sama lepasan Tingkatan Lima. Tiada insentif tambahan yang diberikan kepada mereka.
"Tujuannya bukan menekan majikan tetapi kita boleh mengurangkan kemasukan pekerja asing.
"Soal gaji ini harus dikoordinasikan sebagai kementerian, jabatan, agensi dan yang penting para majikan serta pemain industri," katanya.