CAP gesa RUU Kawalan Produk Merokok, GEG diluluskan segera

Iklan
CAP) gesa agar pembentangan RUU Kawalan Produk Merokok dengan peruntukan GEG dapat segera diluluskan di Parlimen. (Gambar kecil: Subbarow)

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa agar pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok dengan peruntukan Generasi Penamat Rokok (GEG) dapat segera diluluskan di Parlimen.

Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow berkata, pihaknya bimbang terdapat desas desus RUU berkenaan akan dibawa sekali lagi ke Jawatankuasa Khas Parlimen untuk diteliti semula.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sekiranya perkara itu berlaku, RUU tersebut tidak akan dapat diluluskan pada sidang Dewan Rakyat pada Mei atau Jun dan implikasi kepada kelompangan undang-undang akan berterusan.

"CAP sememangnya merasa sangat kecewa sekiranya RUU ini diminta untuk diteliti sekali lagi oleh Jawatankuasa Khas Parlimen.

Iklan

"Apa lagi yang hendak dibincangkan? Bukankah ia telah dibincangkan secara panjang lebar semasa Jawatankuasa Khas yang lalu.

"CAP mendesak agar rujukan ke Jawatankuasa Khas ini perlu diteliti semula," katanya menerusi kenyataan di sini pada Ahad.

Iklan

Subbarow yang juga aktivis antirokok dan vape berkata, sidang Parlimen Ke-15 2023 telah bermula, namun RUU Tembakau masih lagi belum kelihatan di dalam Aturan Utama Mesyuarat (AUM).

Bagaimanapun, katanya berdasarkan penulisan Code Blue pada 26 Mei lalu, jemaah menteri telah meluluskan agar RUU dengan peruntukan Generasi Penamat Rokok atau GEG dibentangkan untuk bacaan Pertama.

Beliau berkata, CAP mahukan bukan sahaja dibuat bacaan pertama malahan diteruskan dengan bacaan kedua dan seterusnya diluluskan.

"Jika benar berita yang diwar-warkan oleh Code Blue maka Perdana Menteri telah menunaikan janjinya untuk membawa RUU ini ke Parlimen pada Mei ini.

"Kini rakyat ingin melihat keikhlasan ahli Parlimen pula untuk meluluskannya," katanya.

Mengulas lanjut, Subbarow berkata, dapatan kajian terkini melalui Tinjauan Kebangsaan Kesihatan Dan Morbiditi (NHMS) 2022 pada 18 Mei mendapati penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan remaja di negara ini telah melonjak naik dari 9.8 peratus pada tahun 2017 kepada 14.9 peratus tahun 2022 dengan pertambahan sembilan peratus perokok.

"Dalam situasi kini adakah kita terus pekakkan telinga, butakan mata menyaksikan lebih ramai kanak-kanak seawal lapan tahun dan pelajar sekolah menengah akan ketagihan vape sekali gus mengancam kesihatan serta masa depan mereka?

"Jesteru, sebagai ahli Parlimen yang telah diberikan tanggungjawab mesti tunaikan janji anda untuk membela rakyat," tambahnya lagi.