Pemandu lori didenda RM1,500 beli loteri

Iklan
Mohd Azwan didakwa di Mahkamah Majistret Pasir Mas. - Photo sekadar hiasan.

PASIR MAS - Seorang pemandu lori didenda RM1,500 di Mahkamah Majistret di sini pada Ahad atas kesalahan membeli tiket loteri dua tahun lalu.

Majistret Rais Imran Hamid mengenakan denda itu selepas tertuduh, Mohd Azwan Che Mohd, 38, mengaku bersalah atas tuduhan yang dikemukakan.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa membeli tiket loteri di sebuah lot kedai di tingkat bawah bangunan di Rantau Panjang pada jam 5.40 petang, 26 Januari 2021.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Iklan

Sebelum itu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas dakwaan membantu dalam menjalankan satu loteri awam tanpa lesen dan tidak sah di sebuah kedai makan di stesen bas lama Rantau Panjang di sini pada jam 4.10 pagi, 24 Mei lalu.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1954 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM20,000, maksimum RM200,000 dan hendaklah juga dikenakan penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Iklan

Pendakwaan kedua-dua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Syafiq Aizat Nazri manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Firdaus Zainal Abidin.

Pada prosiding itu, Mohd Firdaus memohon hukuman dan jaminan yang ringan dikenakan kepada anak guamnya dengan alasan tertuduh sentiasa memberi kerjasama baik kepada pihak berkuasa selepas ditangkap.

Mahkamah kemudian mengenakan denda itu atau empat bulan penjara jika gagal dijelaskan dan ikat jamin sebanyak RM7,000 bagi kes kedua.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 11 Julai ini.

.