Jangan jual tanah kepada sindiket - Sanusi

Iklan
Muhammad Sanusi pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tanah Negeri Kedah (JKTN) pada Ahad.

ALOR SETAR - Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan sindiket penjualan tanah yang berselindung di sebalik permohonan tanah kerajaan yang diusahakan sebelum diberikan pemilikan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pemilik tanah yang diberikan geran oleh kerajaan negeri sewajarnya tidak menjual tanah berkenaan bagi mengelak aktiviti sindiket tersebut terus berleluasa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, aktiviti seumpama dikesan berlaku hampir di setiap daerah dan sudah lama berlarutan, menyebabkan kerajaan negeri mahupun pemilik tanah mengalami kerugian sedangkan golongan tersebut meraih keuntungan berganda.

"Sudah tiba masanya kegiatan itu dihalang, kita akan pantau sebab ada laporan tidak bertulis. Amalan itu memang sudah lama wujud, berakar umbi.

Iklan

"Kita boleh kenal pasti golongan ini sebab mereka berurusan banyak kali di pejabat tanah dengan memohon nama orang lain. Kalau mereka datang lagi mohon, kita hambat,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tanah Negeri Kedah (JKTN) di sini pada Ahad.

Muhammad Sanusi berkata, pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya dalang tersebut diberkas dan tindakan akan diambil berdasarkan undang-undang sedia ada.

Iklan

"Saya nak pesan, kalau ada sindiket mohon tanah dan guna nama orang lain, hati-hati. Mereka sebenarnya sudah miliki banyak tanah hasil kegiatan seperti itu. Tak bolehlah macam itu, tanah semakin sikit, orang makin bertambah.

"Kalau seseorang itu miliki tanah kerajaan dengan banyak, untunglah dia sebab tanah kerajaan premiumnya murah berbanding tanah jual beli. Kita harap orang yang ada duit belilah tanah, jangan mohon tanah kerajaan yang dikhususkan untuk orang miskin,” katanya.

Menurutnya, pemilik tanah yang diberikan geran hak milik seharusnya mematuhi garis panduan ditetapkan, antaranya tidak menjual tanah berkenaan selama 10 tahun.

"Saya harap pemilik tanah yang diberikan geran hak milik, jangan jual tanah. Setiap kelulusan baharu ada sekatan 10 tahun. Kita tidak akan meluluskan jika ada permohonan untuk buka sekatan tersebut untuk urusan jual beli.

"Gadai boleh, seperti cagar di bank untuk bina rumah, jual beli tidak dibenarkan. Sebab kita luluskan permohonan supaya mereka ada harta (tanah) untuk diwarisi kepada anak cucu,” jelasnya.

Muhammad Sanusi memaklumkan, keluasan tanah permohonan geran kini dihadkan kepada maksimum lima ekar berbanding 10 ekar sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebanyak 642 permohonan geran hak milik diluluskan pada Ahad, melibatkan keluasan 381 hektar tanah serta premium mencecah RM2.99 juta.

"Daerah Pendang melibatkan 277 geran dan Langkawi 105 geran untuk beberapa kampung membabitkan tanah pertanian. Kalau tanah komersial dibawa dalam mesyuarat Exco.

"Kita akan pastikan tanah-tanah di pinggir hutan yang diteroka lebih 20 tahun diberikan hak milik. Ada permohonan hingga 56 tahun diusahakan baru dapat hak milik. Majlis penyerahan geran akan diadakan dalam masa terdekat sebagai bukti kita bercakap serupa bikin,” katanya.