Prannoy raih gelaran sulung Jelajah Dunia

Iklan
Prannoy muncul pemain perseorangan lelaki India pertama memenangi gelaran Masters Malaysia. - Foto Bernama

PEMAIN perseorangan lelaki India, H S Prannoy menamatkan penantian untuk merangkul kejuaraan Jelajah Dunia pertamanya selepas menang dalam aksi final Masters Malaysia 2023 di Axiata Arena pada Ahad.

Pemain berusia 30 tahun bagaimanapun terpaksa bermandi peluh dalam pertarungan 94 minit sebelum berjaya mengecewakan wakil China, Weng Hong Yang 21-19, 13-21, 21-18.

Iklan
Iklan

Kemenangan hari ini menyaksikan Prannoy muncul pemain perseorangan lelaki India pertama memenangi gelaran Masters Malaysia.

Prannoy, yang merupakan sebahagian pemain dalam skuad India ketika menjuarai Piala Thomas 2022 tidak menyangka memenangi kejuaraan di Malaysia selepas melalui begitu banyak episod suram sebelum ini.

Iklan

"Saya rasa seperti menaiki roller coaster sejak enam ke tujuh tahun lepas. Jujurnya, saya tak rasa akan menang kejuaraan tahun ini.

"Terima kasih kepada jurulatih saya yang sentiasa ada bersama dan memberikan keyakinan kerana sering kali saya tidak melepasi ke saingan separuh akhir,” katanya kepada pemberita.

Iklan

Pencapaian terbaik Prannoy adalah menjadi naib juara Terbuka Switzerland 2022 selepas tewas kepada Jonatan Christie dari Indonesia 21-12, 21-18.

Sementara itu, pilihan utama perseorangan wanita, Akane Yamaguchi dari Jepun memerlukan 34 minit untuk muncul juara selepas mengecewakan bintang meningkat naik dari Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung 21-17, 21-7.

Yamaguchi gembira berjaya meraih gelaran kedua berturut-turut selepas memenangi Terbuka Malaysia 2023 pada Januari lepas dan teruja bermain di hadapan penonton yang semangat memberikan sokongan.

Beregu campuran Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai turut meraih kejuaraan Jelajah Dunia pertama tahun ini selepas mengecewakan Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China, 16-21, 21-13, 21-18.

Taerattanachai berkata, kerja keras mereka ketika latihan membuahkan hasil apabila berjaya menaiki podium lagi selepas kali terakhir bergelar juara Terbuka Jepun 2022 pada Ogos tahun lepas.

"Sasaran kami seterusnya adalah memenangi Kejohanan Dunia 2023 di Copenhagen, Denmark pada Ogos diikuti Sukan Asia di China, bulan berikutnya,” katanya.

Prannoy dan Yamaguchi masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai AS$31,500 dan piala manakala Puavaranukroh-Taerattanachai meraih AS$33,180 berserta piala. - Bernama