WARTAWAN berperanan sebagai ejen perubahan sosial apabila tugas utamanya adalah mewakili dan menyampaikan suara yang tidak didengari.
Dalam era digital yang serba mencabar, wartawan kini semakin menerima hakikat bahawa cara masyarakat menggunakan media sudah berubah.
Semakin hari, segala-galanya bergerak dengan begitu pantas. Maklumat yang disampaikan di media semuanya harus padat, singkat dan tepat.
Inilah cabaran yang tercipta seiring dengan semaraknya kuasa teknologi. Organisasi media berlumba-lumba menjadi sumber utama dan mengharungi situasi menghasilkan penulisan bertepatan dengan karektor medium.
Berita yang disampaikan di media konvensional tidak sama rentaknya dengan media digital. Semakin ringkas sesebuah maklumat disampaikan semakin sesebuah medium itu dirujuk.
Namun, dalam keghairahan menjadi nombor satu, jangan dikesampingkan tanggungjawab dalam mendidik masyarakat.
Kita mungkin perlu akur dengan keadaan yang berubah tetapi setiap penulisan yang disajikan kepada masyarakat perlu hadir bersamanya rasa tanggungjawab yang tinggi kerana penulisan seseorang wartawan menggambarkan pemikiran dan paradigmanya.
Elemen sensasi yang digunakan untuk menarik pembaca perlu mengambil kira demografi pembaca yang turut berubah.
Jika dulu kanak-kanak 8 tahun bermain teng teng dan batu seremban, hari ini segalanya itu telah digantikan dengan gajet di hujung jari. Kesannya amat berbeza dan sama sekali tidak mudah untuk dikawal.
Mungkin ada yang berpendapat itu tugas ibu bapa memastikan anak-anak tidak didedahkan dengan maklumat yang tidak bersesuaian dengan umur, namun setakat mana keadaan ini boleh dibiarkan kerana pembentukan generasi masa hadapan bergantung kepada apakah nilai yang dibina dalam diri mereka.
Justeru sempena sambutan Hari Wartawan Nasional 2023, bingkisan ini dinukilkan buat para wartawan yang tidak pernah berhenti berjuang dalam mendidik masyarakat dari sudut pandang yang objektif.
Dunia digital tidak boleh mengambil sepenuhnya peranan wartawan dalam mendidik lapisan masyarakat yang pelbagai.
Teknologi hanya mempercepatkan cara maklumat disampaikan. Namun tanggungjawab wartawanlah yang mengemudi kandungannya dalam membentuk pemikiran kritikal yang holistik demi memanusiakan manusia.
* Dr Wan Hartini Wan Zainodin adalah Ketua Pusat Pengajian, Komunikasi dan Media, Universiti Teknologi Mara.