RM20 juta untuk litar drag tak pernah diluluskan di Parlimen

Iklan
Laporan Sinar Harian dan kenyataan media yang dikeluarkan oleh KBS.

SHAH ALAM - [KEMAS KINI] Peruntukan RM20 juta bagi membangunkan satu litar di setiap negeri yang diumumkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Seri Ismail Sabri Yaakob tidak pernah diluluskan di Parlimen.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan, peruntukan itu yang diumumkan bagi Bajet 2023 tidak pernah dibahaskan dan tidak mendapat kelulusan.

Iklan
Iklan

"Ini kerana Ismail Sabri telah membubarkan Parlimen sejurus selepas membentangkan belanjawan beliau. Oleh yang demikian, bajet tersebut tidak pernah disalurkan kepada KBS bagi pembangunan litar drag seperti yang diumumkan.

Ismail Sabri sebelum ini menyarankan agar kerajaan menerusi KBS meneruskan pembinaan litar drag di setiap negeri seperti cadangan kerajaan terdahulu yang bernilai RM20 juta.

Beliau berkata, ia untuk memberi peluang kepada belia membabitkan diri dengan lebih serius dalam sukan permotoran mengikut saluran yang betul.

Iklan

Tambah KBS, pihaknya amat prihatin terhadap faktor keselamatan anak muda dan tidak berhasrat untuk membina litar berdasarkan konsep sekadar ada.

"Tidak dinafikan sukan permotoran di litar drag merupakan perlumbaan di platform yang baik dan bermanfaat untuk anak muda. Namun begitu, keselamatan pelumba, penonton dan semua yang terlibat perlu diberi keutamaan.

Iklan

"KBS sentiasa proaktif dan mencari kaedah-kaedah lain bagi memastikan sukan permotoran ini dapat terus dilaksanakan dalam keadaan yang terkawal dan selamat walaupun kekangan kewangan ketika ini menghalang usaha pembinaan baharu litar-litar permotoran khasnya litar drag.

"Antara usaha yang dilakukan adalah melalui projek menaik taraf serta memperbaiki kemudahan sedia ada di bawah KBS seperti Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang mencapai spesifikasi antarabangsa serta Litar Lumba Tangkak di Johor bagi penggiat sukan permotoran tempatan,” jelasnya.

KBS juga bekerjasama dengan Persatuan Bermotor Malaysia (MAM) selaku badan induk Sukan Permotoran dalam memastikan operator serta penganjur sukan permotoran ini dapat melaksanakan program atau aktiviti mereka di litar yang selamat dengan membuat penyenaraian litar-litar kekal yang telah disahkan (homologate) serta menyediakan spesifikasi minimum bagi litar sementara.

Selain itu, kementerian menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dengan sokongan MAM juga sedang giat membangunkan Garis Panduan Sukan Bermotor yang mana akan memberikan panduan mengenai sukan bermotor terutamanya melibatkan penganjuran acara termasuklah perlumbaan drag.

Usaha yang digerakkan itu dapat mewujudkan persekitaran yang selamat dan kondusif seterusnya mengurangkan risiko perlumbaan.

"Program MalaysiaActive@Motorsports yang akan diadakan di seluruh negara melibatkan pengisian aktiviti seperti perlumbaan, bengkel sukan permotoran, Kelas Latihan Asas Sukan (KLASS) Permotoran, Kursus Akreditasi dan Pentauliahan serta melalui program RAKAN MUDA yang akan diberi nafas baru tidak lama lagi.

"Segala usaha ini diharap dapat merancakkan lagi pemerkasaan pembangunan sukan bermotor di Malaysia dan memberi manfaat kepada belia-belia di Malaysia,” katanya.