KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini sekali lagi mengecam Israel sebagai negara pengganas dan menjadi punca utama terhadap ketidakstabilan dunia.
Dalam amanatnya kepada golongan muda pada Persidangan tahunan Al-Sharq 2019 di sini di mana majoriti peserta adalah dari negara-negara timur tengah, pemimpin berusia 93 tahun itu menegaskan bahawa masanya telah tiba bagi masyarakat antarabangsa untuk bersatu dan mengakhiri penjajahan Israel terhadap Palestin.
Iklan
Iklan
"Apartheid, pembunuhan beramai-ramai, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah pencerobohan dan semua kejahatan terhadap orang lain kini terpalit pada Palestin - hasil perbuatan negara yang ganas, sombong, dan teroris yang digelar Israel.
"Sehingga dan sekiranya masyarakat antarabangsa komited untuk mencari penyelesaian bagi menamatkan penjajahan Israel terhadap bumi Palestin, rantau itu dan dunia keseluruhannya tidak berpeluang menikmati keamanan dan kestabilan,” katanya dalam ucaptama sebelum merasmikan persidangan itu yang pertama kali diadakan di negara ini.
Ucapan berani beliau menerima tepukan gemuruh daripada lebih 1,000 orang peserta persidangan. - Bernama