[VIDEO] Peniaga didenda RM120,000 jual diesel tanpa lesen

Iklan
Lim Soon Ping didenda RM120,000 selepas mengaku salah menjalankan perniagaan diesel tanpa kebenaran.

SUNGAI PETANI - Seorang peniaga dikenakan hukuman denda RM120,000 di mahkamah seksyen di sini setelah mengaku salah menjalankan perniagaan diesel tanpa kebenaran di Sungai Lalang di sini bulan lalu.

Lim Soon Ping, 41, dari Bedong, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Roslan Hamid sebaik sahaja pertuduhan dibacakan dalam loghat Hokkien.

Iklan
Iklan

Mahkamah mengarahkan tertuduh dihukum penjara selama enam bulan jika gagal membayar denda selain hasil jualan diesel yang dirampas bernilai RM60,200 dan dua buah lori diserah dan dilucut hak kepada kerajaan.

Sebelum itu, tertuduh mengaku salah bahawa dalam kawalannya terdapat barang kawalan sebanyak 28,000 liter minyak diesel dalam dua buah lori tangki.

Iklan

Mengikut pertuduhan, perbuatan itu telah menimbulkan syak munasabah bahawa satu kesalahan akan dilakukan iaitu berniaga dengan cara jual runcit atau borong barang berjadual iaitu minyak diesel tanpa suatu lesen yang sah.

Akibat itu, dia didakwa melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang merupakan satu kesalahan bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum bawah Seksyen 22(1) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Iklan

Tertuduh bersama tiga warga Myammar, Than Win Htun, Mg Win Thein dan Win Ko Naing berusia antara 30-an hingga 40-an dituduh bersama-sama pada 10 April lalu lebih kurang jam 1.20 pagi di Kawasan Perusahaan Sungai Lalang.

Bagaimanapun, tiga warga Myammar tersebut mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Jika sabit kesalahan mengikut peraturan tersebut, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sebutan semula kes bagi tiga tertuduh lain ditetapkan pada 5 Julai depan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Muhammad Nizam Amir.