TANAH MERAH - Kerajaan Kelantan mendedahkan wujud kegiatan sindiket yang cuba mempergunakan penduduk kampung untuk membeli tanah milik kerajaan di negeri itu dengan harga murah.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, perkara itu dikesan berlaku sejak beberapa tahun lalu melibatkan pembelian tanah-tanah di Gua Musang.
"Ada beberapa kes, mereka membayar orang kampung dan minta supaya penduduk memohon pembelian tanah dengan kerajaan.
"Sindiket kemudian membeli pula tanah itu dengan penduduk dengan sejumlah harga yang masih lagi rendah dan dibuat macam-macam seperti tanaman kelapa sawit atau durian,” katanya selepas Majlis Penyampaian Geran Hak Milik Tanah Jajahan Tanah Merah kepada 243 penerima di Gobek di sini pada Isnin.
Mohd Amar berkata, berikutan itu, kerajaan negeri tegas tidak akan meluluskan geran hak milik tanah kepada mereka yang terlibat.
"Kami mahu rakyat yang benar-benar layak dan memerlukan sahaja untuk menerima geran tanah daripada kerajaan di negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, ujar Mohd Amar, keseluruhan pemberian hak milik tanah bagi negeri ini sejak 1990 ialah sebanyak 106,423 penerima dengan keluasan berjumlah 339,839.6 hektar.
"Tanah Merah antara yang tinggi dengan 16,561 penerima bersama tanah berkeluasan 37,657.3 hektar.
"Kami harap penerima jaga tanah dengan baik dan usahakan agar memberi pulangan hasil kepada diri, keluarga dan seterusnya negeri,” katanya.