10 pekerja 'calling centre' judi haram ditahan

Iklan
Kok Chin (dua dari kanan) menunjukkan peralatan yang dirampas daripada sindiket judi dalam talian pada 25 Mei lalu.

GEORGETOWN - 10 individu iaitu dua lelaki dan lapan wanita warga tempatan ditahan selepas polis menyerbu sebuah premis yang dijadikan pusat perjudian dalam talian di sini pada jam 3.30 petang, 25 Mei lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 30an itu dalam serbuan dalam Op Dadu oleh sepasukan polis di sebuah rumah kedai yang dijadikan pusat panggilan untuk kegiatan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, polis telah merampas pelbagai peralatan antaranya 16 unit telefon bimbit, 10 unit monitor, 10 unit papan kekunci dan dua unit 'internet router'.

"Sindiket judi haram ini dipercayai aktif sejak 10 bulan lalu dengan mensasarkan pelanggan dari negara luar. Kesemua mereka merupakan pekerja bagi sindiket ini untuk tujuan promosi.

Iklan

"Mereka telah dibayar gaji untuk menjalankan kerja promosi ini. Kesemua tangkapan diberikan jamin polis selepas rakaman percakapan diambil," katanya pada sidang akhbar di Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Kok Chin berkata, modus operandi sindiket itu adalah semua ahli sindiket di pusat panggilan tersebut dibekalkan nombor telefon dari ejen yang lain melalui Goodlr Drive.

Iklan

"Kesemua ahli sindiket ini akan menghubungi pelanggan di luar negara untuk membuat tawaran permainan dalam talian.

"Sekiranya ada yang berminat, pelanggan akan diberikan pautan untuk pendaftaran. Semua transaksi kewangan akan diuruskan oleh ejen yang lain," katanya.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan tiada rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) (a), (b), (c) dan (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Dalam perkembangan lain, polis menahan dua lelaki warga tempatan di Jalan Taman Rupawan, Kepala Batas pada jam 4 pagi, Ahad kerana disyaki terbabit dengan kegiatan mencuri kabel.

Kok Chin berkata, dua suspek tersebut ditahan ketika sepasukan anggota polis daripada Unit MPV Ibupejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara menjalankan rondaan di Jalan Pongsu Seribu.

"Ketika rondaan itu, anggota kita terserempak dengan dua buah kereta pacuan empat roda jenis Nissan Navara dan Mitsmubishi Triton dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota MPV bertugas tersebut telah mengarahkan kedua-dua pemandu kenderaan berhenti untuk pemeriksaan namun mereka tidak memberi kerjasama dan terus memecut laju kenderaan," katanya.

Kok Chin menambah, anggota MPV tersebut bersama bantuan daripada beberapa unit peronda MPV lain telah mengejar dua kereta tersebut sehingga ke kawasan sempadan Sungai Petani, Kedah.

"Sebuah MPV terus mengejar Mitshubishi Triton dan berjaya menahan kereta tersebut di Jalan Taman Rupawan di Kepala Batas. Dua suspek warga tempatan berjaya ditahan.

"Bagaimanapun, sebuah kereta lagi Nissan Navara telah hilang jejak. Hasil pemeriksaan menjumpai 52 batang kabel milik Telekom Malaysia yang telah dipotong di bahagian belakang kereta.

"Kedua-dua suspek direman sehingga 1 Jun ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.