TAIPING - Majlis Perbandaran Taiping (MPT) bersama tiga sekolah di sekitar Taiping menerima 100 naskhah al-Quran sumbangan wakaf oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).
Pengurus Kanan Tugas Tugas Khas Sinar Karangkraf, Hashim Anang berkata, sumbangan tersebut merupakan sebahagian usaha pihak WUIF untuk mengagihkan al-Quran wakaf ke seluruh negara melibatkan pelbagai organisasi, jabatan dan sekolah.
Menurutnya, sebelum ini edaran al-Quran berkenaan dibuat kepada kumpulan barisan hadapan yang terlibat dalam menguruskan Covid-19.
"Kumpulan Karangkraf menerusi WUIF telah mencetuskan idea untuk mewujudkan program wakaf al-Quran dan sehingga program ini dilancarkan sebanyak lebih dari 130,000 naskhah al-Quran telah disampaikan kepada umat Islam.
"Mulanya kita fokus kepada petugas barisan hadapan, waktu itu kita beri kepada mereka anggota tentera, polis yang membuat sekatan jalan raya selepas itu sambutan begitu menggalakkan, kita saya perluaskan kepada sekolah, PBT dan pelbagai agensi berkaitan," katanya kepada Sinar Harian selepas majlis Penyerahan al-Quran Wakaf WUIF di Bangunan MPT di sini pada Isnin.
Hadir sama pada majlis itu, Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir; Guru Besar, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jambu, Saerwati Said dan Guru Pendidikan Islam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jana, Abu Hassan Abd Karim.
Sementara itu, Khairul Amir yang ditemui menyifatkan sumbangan tersebut amat bermakna buat seluruh warga MPT.
Menurutnya, pihak MPT berhasrat mewujudkan sudut al-Quran di tempat-tempat yang sesuai bangunan mereka bagi memanfaatkan sumbangan wakaf tersebut.
"MPT sebenarnya memang ada perancangan untuk menyebarluaskan lagi program-program yang ada di bawah WUIF khususnya bagi sumbangan al-Quran pada hari ini, kita akan menempatkan berapa naskah di surau-surau kita dan di beberapa kawasan pejabat yang bersesuaian untuk dijadikan santapan jiwa kepada bawa pegawai kita sekurang-kurangnya kita sedar akan kepentingan membaca al-Quran.
"Kita juga menggalakkan supaya semua pegawai kita yang mempunyai masa khususnya waktu rehat untuk menggunakan al-Quran sebagai salah satu daripada bacaan yang memberi manfaat baik kepada semua," katanya
Selain MPT, sumbangan wakaf al-Quran tersebut turut disumbangkan kepada tiga buah sekolah di sekitar Taiping iaitu SK Bistari Darul Mulkan Kuala Sepetang, SK Kampung Jambu dan SMK Bukit Jana.