BIO Eneco Sdn Bhd (BioEneco), pengeluar, pengilang dan pembekal bahan api biojisim terkemuka di Malaysia telah meraih pensijilan Label Emas Hijau (GGL), baru-baru ini.
Pengarah Urusan BioEneco, Oliver Yeo berkata, pensijilan yang diterima akan mengukuhkan komitmen BioEneco untuk menyediakan produk biojisim berkualiti tinggi.
Menurutnya, ia turut mengiktiraf bahawa syarikat itu memastikan amalan perniagaannya patuh pada peraturan dan mampan.
"Kami akan terus memacu perubahan positif dalam operasi perniagaan kami yang turut mementingkan alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Difahamkan BioEneco memperoleh paten daripada MyIPO (Perbadanan Harta Intelek Malaysia) pada September 2022 untuk barisan pengeluarannya.
"Teknologi tinggi yang dipatenkan itu membolehkan barisan pengeluaran BioEneco membuang kekotoran dari tempurung inti sawit (PKS) dengan cekap dan melengkapkan ia dengan sistem pensterilan UV untuk membunuh bakteria,” ujar Oliver.
Ditubuhkan pada 2002, GGL merupakan program pensijilan antarabangsa untuk biojisim mampan.
Ia dimiliki oleh Green Gold Label Foundation dan merupakan antara skim pensijilan biojisim terawal.
GGL direka bentuk untuk memberikan jaminan bahawa sumber produk biojisim adalah daripada sumber yang mampan.
Skim itu mengambil kira asal-usul (pengurusan hutan atau pertanian) dan maklumat rantaian bekalan (tenaga dan karbon).
Ia juga sejajar dengan peraturan negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) 2021-2025 yang berpandukan tonggak kemampanan (ekonomi, sosial dan alam sekitar).
Langkah itu bertujuan untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau (GHG) bersih-sifar seawal 2050 dan antarabangsa peraturan untuk mendapatkan biojisim mampan, seperti Stimulasi Pengeluaran Tenaga Mampan dan Peralihan Iklim (SDE) dan skim Pemberian Tarif (FIT) Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun (METI).