'Andainya Ini Ramadan Terakhir' kuliah terakhir Allahyarham Abu Hassan Din Al-Hafiz

Iklan
Mohamad Yusri

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] 'Andainya ini Ramadan Terakhir' adalah kuliah Maghrib terakhir disampaikan ayah saya malam tadi, demikian menurut Mohamad Yusri Abu Hassan, 45, anak sulung kepada Allahyarham Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz,72.

Menurutnya, pada kebiasaan ayahnya akan bermalam di kawasan tempat ceramah, namun malam tadi, Allahyarham pulang ke rumah bersama ibunya kerana pagi ini perlu menghadiri satu lagi sesi ceramah di Ipoh, Perak.

Iklan
Iklan

Reda dengan pemergian ayahnya, Mohamad Yusri berkata, tahap kesihatan Allahyarham berada dalam keadaan kurang baik selepas doktor sahkan paru-parunya berair.

"Kalau ikut sejarah kesihatan, ayah pernah buat pintasan jantung sekitar 20 tahun lalu. Sebulan sekali ayah buat pemeriksaan kesihatan.

Iklan

"Cuma itulah paru-paru berair dan doktor nasihatkan jaga pemakanan," katanya ditemui di rumahnya di Kampung Batu Muda di sini.

Melihat susuk tubuh Allahyarham, ramai tidak menyangka Allahyarham kurang sihat.

Iklan

Mohamad Yusri juga mengakui perkara itu apatah lagi, dengan ada masalah jantung, paru-paru berair dan terkini buah pinggang kurang berfungsi, Allahyarham masih aktif menyampaikan kuliah mahupun ceramah di serata negeri walaupun kurang sihat.

Menceritakan detik Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya, Mohamad Yusri berkata, ketika itu Allahyarham sedang bersiap untuk ke Ipoh bagi sesi ceramah tengah hari ini.

"Masa tu lepas solat Subuh. Ayah rebah. Ibu telefon beritahu keadaan ayah sebab ibu pun tak tau nak buat apa.

"Saya minta dua adik saya tengokkan keadaan ayah sebab tak tinggal sekali dengan ayah sementara saya sampai.

"Pernafasan ayah lemah dan mukanya dah pucat sewaktu berada di rumah lagi.

"Ambulans datang rumah dan bawa ayah ke hospital. Masa di rumah, doktor ada buat bantuan kecemasan dan CPR. Dalam ambulans pun buat, di hospital pun buat juga.

"Sampai di ICU (unit rawatan rapi) Hospital Kuala Lumpur, doktor cuba sedaya mungkin bantu ayah.

"Kami tengok pada mesin tu... kami reda apabila doktor maklumkan denyutan nadi telah berhenti ketika sampai ke hospital," katanya.

Sebagai anak sulung, Mohamd Yusri mewakili keluarga turut memohon maaf kepada mana-mana pihak andai ada yang tersinggung dengan Allahyarham ayahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Datuk Seri Abu Hassan Din meninggal dunia

Bekas Penasihat Agama Istana Negara ini menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 7.30 pagi tadi ketika bersiap untuk menghadiri program di Maahad Tahfiz di Kota Raja Ipoh, tengah hari ini.

Namun, Allahyarham dikatakan rebah sewaktu sedang bersiap dan tidak sedarkan diri sebelum mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur.

Jenazah akan dibawa ke Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda selepas solat Zohor untuk dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan.

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda di sini selepas solat Asar.

Allahyarham Abu Hassan meninggalkan seorang balu, Rosbi Shabudin dan tujuh anak serta 13 cucu.

Merupakan adik kepada dua pendakwah terkenal, Allahyarham Datuk Dr Haron Din dan Allahyarham Ishak Din.

Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Inggeris Derma di Arau, Perlis kemudian di Sekolah Menengah Agama Arab Alawiyah serta melanjutkan pelajaran di Mesir.

Allahyarham mula bertugas di Pusat Islam pada 1976 sebelum berkhidmat di Masjid Negara pada tahun berikutnya sehingga memangku jawatan Imam Besar.