Pengamal media jalani pemeriksaan mata, telinga percuma

Iklan
Wartawan TV Alhijrah, Hamimah Hamid turut hadir melakukan pemeriksaan mata di Wisma Psemi di Ipoh anjuran Persatuan Kebajikan Amal Makmur Negeri Perak sempena Hawana 2023.

IPOH - Lebih 20 media hadir menjalani pemeriksaan mata dan telinga percuma yang dianjurkan Persatuan Kebajikan Amal Makmur Negeri Perak sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 di sini pada Isnin.

Setiausahanya, K Nachemutu berkata, program yang pertama kali dianjurkannya itu bagi menghargai tugas pengamal media yang melaporkan berita buat masyarakat.

Iklan
Iklan

"Program hampir tiga jam itu mendapat sambutan dalam kalangan pengamal media dan juga orang awam yang hadir melakukan pemeriksaan.

"Walaupun ia program berskala kecil, ia amat bermakna bagi kami kerana kita tahu tugas media yang sentiasa sibuk membuat liputan di negeri ini," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Psemi di sini.

Iklan

Jurufoto New Straits Times (NST), L Manimaran berkata, kesibukan bertugas menyebabkan dia tidak sempat untuk buat pemeriksaan dua pancaindera itu di mana-mana hospital atau klinik.

Manimaran mendengar penerangan berhubung keadaan kesihatan telinga ketika menjalani pemeriksaan percuma anjuran Persatuan Kebajikan Amal Makmur Negeri Perak sempena Hawana 2023 di Ipoh.

"Disebabkan saya mempunyai masalah rabun jauh dan dekat, agak bermasalah untuk menulis dan menaip menggunakan telefon bimbit dan komputer riba jadi saya datang untuk lakukan pemeriksaan.

Iklan

"Saya terkejut rupa-rupanya saya ada jangkitan pada bahagian telinga dan mereka menasihati saya untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut. Penganjuran program ini benar-benar baik untuk pengamal media dapatkan pemeriksaan," katanya.

Wartawan Astro Awani, Abdul Razak Mohd Ali, 60, berkata, program berbentuk kebajikan ini wajar diteruskan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap penjagaan kesihatan termasuk media.

"Media ini prihatin dengan masalah orang lain hinggakan bab kesihatan diri sendiri kadangkala diabaikan.

"Saya puji dengan inisiatif Persatuan Kebajikan Amal Makmur Negeri Perak yang prihatin dengan keadaan kami," katanya.