SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Salleh mengecam tindakan penganjur Star Vendors di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) yang membiarkan berlakunya 'aktiviti murahan' di acara tersebut di baru-baru ini.
Aktiviti terbabit merujuk kepada satu video dengan aksi menyanyi sambil menari dangdut oleh tiga wanita dimuat naik di akaun Facebook dipercayai milik salah seorang pengasas produk kecantikan yang turut melakukan aksi sama.
Dr Muhamad Akmal berkata, penganjur perlu bertanggungjawab dengan tindakan yang melampau dan tidak menjaga sensitiviti masyarakat negeri Melaka.
"Kami mendesak agar permohonan maaf daripada pihak penganjur dan penganjur perlu diharamkan untuk mengadakan sebarang anjuran acara di dalam negeri Melaka,"katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Pemerhatian Sinar Harian di ruangan komen video yang dimuat naik pada Ahad itu mendapati aksi melampau tersebut turut mendapat kecaman warganet.
Antaranya meminta pemimpin agama Islam di negara ini agar mengambil tindakan sewajarnya bukannya hanya membisu.
"Nauzubillahiminzalik. Pemimpin agama Islam janganlah diam membisu. Buatlah sesuatu," menurut salah satu komen.
Video berdurasi seminit 57 saat itu juga memaparkan seorang lelaki dipercayai juru acara pentas yang turut menari 'meraikan' persembahan dangdut tersebut.
Klip video berkenaan mencecah lebih 170,000 tontonan dengan 75 perkongsian sehingga artikel ini ditulis.