SHAH ALAM - Pemergian tokoh agama terkenal, Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz hari ini pastinya menjadi berita sedih buat seluruh pengikut setia dunia dakwah.
Kesedihan itu bukan sahaja dirasai ahli keluarga dan rakan-rakan pendakwah, malah pemimpin negara dan warganet turut berkongsi perasaan sama.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menerusi catatan di Instagram miliknya turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan sahabat tokoh disegani ramai itu.
"Semoga Allahyarham ditempatkan di kalangan para syuhada dan solehin,” katanya.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, sumbangan Allahyarham khasnya dalam bidang pendidikan Islam akan terus dikenang.
Bagi Pencetus Ummah Amin (PU Amin), Allahyarham disifatkan seorang yang banyak menyumbang jasa dalam menyebarkan dakwah Islam dan mendidik masyarakat.
"Semoga ALLAH SWT mengurniakan sebaik-baik ganjaran buat Allahyarham,” tulisnya di Instragram.
Dalam pada itu, Pas menerusi laman Facebook rasmi Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut merakamkan ucapan takziah atas pemergian tokoh agama terkenal negara itu.
"Jasa Almarhum kepada rakyat dan negara amat besar khususnya dalam menyebarkan dakwah Islam dan mendidik masyarakat dengan agama.
"Semoga segala amalan soleh diterima oleh ALLAH SWT, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan bersama para solehin,” katanya.
Allahyarham Abu Hassan, 73, disahkan meninggal dunia kira-kira 7.30 pagi tadi selepas rebah dan tidak sedarkan diri ketika bangun hendak menunaikan solat Subuh.
Turut dikongsikan netizen ialah pemergian Allahyarham Abu Hassan menyusuli dua abangnya iaitu Allahyarham Ustaz Ishak Din dan Allahyarham Datuk Dr Haron Din.
Haron, 76, meninggal dunia pada September 2016 di Hospital Stanford University, San Francisco, AS akibat komplikasi jantung, manakala Ishak, 78, meninggal dunia ketika sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) kira-kira dua bulan kemudian.