SHAH ALAM - Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar meramalkan sebahagian penyokong parti itu akan memberi undi kepada calon Perikatan Nasional (PN) sebagai tanda tidak setuju dengan permintaan Ahli Majlis Tertinggi (MKT), Datuk Seri Ahmad Maslan.
Khairy berkata, Ahli Parlimen Pontian itu sepatutnya menyeru pengundi UMNO menyokong calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan berbanding meminta pengundi memilih DAP.
"(Kenyataan) Sokong calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan untuk kestabilan politik, maka pengundi akan faham, tak perlu kata sokong DAP kerana ia kenyataan yang menyakitkan hati orang Melayu terutama UMNO," katanya dalam siaran podcast 'Keluar Sekejap' pada Isnin.
Sebelum ini media melaporkan, bekas Setiausaha Agung UMNO itu meminta pengundi memilih calon DAP di kawasan yang tidak ditandingi Barisan Nasional (BN) demi mengukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan selain ia adalah tindakan wajar mengikut disiplin parti.
Dalam pada itu Khairy menjelaskan, beliau memahami konteks yang ingin disampaikan Ahmad iaitu Pakatan Harapan (PH) dan BN kini adalah lawan kepada PN.
"Dalam konteks tersebut Ahmad kata UMNO kena sokong DAP dengan harapan DAP akan sokong UMNO supaya satu lawan satu undi.
"(Namun) Adakah pengundi, penyokong UMNO akan memberi sokongan kepada calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan ataupun kerana kehadiran DAP sebagai rakan strategik dalam konfigurasi baharu ini, mereka akan beri undi kepada PN,” katanya.
Sementara itu beliau yang juga bekas Menteri Kesihatan beranggapan, komposisi PH ketika ini memberi manfaat kepada BN dari segi sokongan.
"PH lebih berguna kepada BN (kerana) pengundi PH yang tidak sokong BN, jumlahnya lebih kecil berbanding pengundi UMNO yang tidak sokong PH. Pengundi PH tidak akan beri undi kepada PN.
"(Kaum) Bukan Melayu tidak akan bagi (undi) kepada Pas, mereka akan 'campak' kepada UMNO atau tidak keluar (undi). (Pengundi) UMNO pula kemungkinan beri kepada PN," ujarnya.
Sementara itu bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berpandangan, UMNO mungkin antara parti yang akan hilang banyak kerusi pada PRN kelak.
"UMNO akan tewas di utara Selangor misalnya di kawasan Melayu, tetapi kerusi PH sedia ada (seperti) di Damansara tidak akan kalah.
"Keputusannya mungkin kerusi-kerusi BN itu yang sedikit, kerusi PH kekal,” katanya.