BANGKOK - Seekor kucing gemuk dianggap mempunyai sembilan nyawa selepas terjatuh dari tingkat enam sebuah kondominium di Bangkok.
Kucing diberi nama Shifu itu jatuh di atas cermin kereta yang diletakkan di bawah kediaman tersebut.
Pemilik kereta itu turut berkongsi gambar cermin belakang keretanya yang pecah bersama kucing tersebut di akaun Facebook miliknya pada 27 Mei lalu.
"Pengurus kondominium menghubungi saya pada jam 7 pagi dan memberitahu seekor kucing terjatuh atas kereta saya.
"Paling menghairankan saya adalah bagaimana kucing seberat 8.5 kilogram yang terjatuh dan menyebabkan cermin pecah masih boleh hidup. Ok saya faham sekarang," tulisnya di Facebook.
Gambar dikongsikan menunjukkan Shifu tidak mengalami kecederaan luaran, tetapi cermin belakang kereta pecah dan berlubang besar.
Pengurus kondominium, Orrasa bercakap kepada Channel 3 mengenai kejadian itu berkata, dia menerima laporan mengenai kucing gemuk itu pada jam 7.30 pagi (waktu tempatan).
"Saya bergegas memeriksa di lokasi kejadian dan mendapati serpihan kaca bertaburan di lantai manakala kucing itu berada bawah kereta," katanya.
Tambahnya, selepas memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) dan menyoal saksi, kucing tersebut didapati terjatuh dari tingkat enam dan kemudian ke tingkat tiga sebelum terkena kereta itu.
Sementara itu, pemilik kucing tersebut, Apiwat yang mendedahkan imbasan sinaran X berkata, kucing tidak mengalami kecederaan serius seperti patah kaki dan sebagainya.
"Kemas kini keadaan Shifu (yang dinamakan sempena watak dalam filem animasi Kung Fu Panda) semakin baik, boleh berjalan, makan buang air seperti biasa.
"Tubuhnya tidak mengalami luka atau lebam kecuali beberapa kukunya didapati patah," katanya. - Agensi