Kerajaan mesti beri jaminan kebebasan media – Ismail Sabri

Iklan
Ismail Sabri

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memberi jaminan terhadap kebebasan industri media di negara ini memandangkan peranannya amat penting dalam melaporkan berita yang sahih dan tepat.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia terutamanya pada zaman sekarang yang terlalu banyak berita palsu serta fitnah tersebar meluas hampir setiap masa.

Iklan
Iklan

Tambah Ahli Parlimen Bera itu, adalah malang sekiranya media dikongkong dan disekat kebebasannya untuk melaporkan berita.

"Tanggal 29 Mei sangat istimewa dan bermakna kepada penggiat industri kewartawanan dan pengamal media tanah air iaitu Hari Wartawan Nasional (Hawana).

Iklan

"Media merupakan satu industri yang sangat dekat di hati saya, malah tawaran kerja saya yang pertama dalam hidup saya adalah Pembantu Penyiaran di RTM sebelum mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya.

"Peranan media amat penting bagi melaporkan berita yang sahih dan tepat terutamanya di zaman yang terlalu banyak berita-berita palsu dan fitnah yang tersebar meluas hampir setiap masa,” katanya pada Isnin.

Iklan

Beliau turut berharap agar sambutan Hawana pada tahun ini diraikan sebaiknya bagi menghargai segala sumbangan yang telah diberikan oleh seluruh wartawan dan pengamal media.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.

Sambutan Hawana 2023 berlangsung tiga hari bermula Sabtu di sini dengan kemuncak perasmian disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.