SHAH ALAM - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berpandangan bahawa disiplin dan kependidikan penggunaan perlu diperkukuhkan dalam minda masyarakat.
Beliau berkata, melalui usaha itu Malaysia dapat menjadi negara maju seterusnya, membentuk komuniti yang mampu menentukan harga barangan di pasaran.
"Komuniti itu boleh memilih dengan kuasa beli yang ada kepada mereka. Jadi (negara) kita nak ke arah itu sebenarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program Town Hall Rakyat yang berlangsung di Kompleks Media Karangkraf, pada Isnin.
Salahuddin menjadi tetamu keempat dalam program yang dihoskan Azhar Sulaiman.
Sesi Town Hall Rakyat sebelum ini telah menampilkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memegang tanggungjawab berat untuk mendidik masyarakat, memastikan keberadaan bekalan barangan mencukupi serta dijual dengan harga berpatutan.
"Kalau kita mahu rakyat berbelanja secara berkhemah, menteri KPDN tidak boleh bercakap banyak, ia perlu kepada pensyarah-pensyarah universiti atau tokoh-tokoh pengguna bercakap tentang perkara itu.
"Ia lebih santai, rakyat lebih selesa mendengar kalau pendidikan itu datang daripada golongan pakar.
"Tetapi menteri tidak boleh bercakap seperti itu, kita mesti turun padang, periksa harga, tengok rantaian nilai keseluruhan, kena melihat bersungguh-sungguh tentang keberadaan barangan itu dan terus kita boleh agak berapa harga yang akan jatuh bila sesuatu barangan itu cukup atau tidak cukup,” ujarnya.