PADANG BESAR - Kementerian Dalam Negeri menyasarkan sebanyak 75 peratus daripada 100 klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pulih pada tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun kadar peratusan ini agak tinggi, namun dengan model pemulihan yang sentiasa ditambah baik, beliau yakin AADK mampu mencapainya
"Pada 2022, bagi setiap 100 klien AADK, 71 orang telah berjaya pulih daripada masalah ketagihan dadah dan ini perlu dikekalkan sepanjang hayat, bukannya untuk tiga empat tahun sahaja...
"Justeru, segala usaha kebersamaan dan sokongan berterusan masyarakat yang diberikan kepada klien adalah antara modal sosial yang penting dalam mengekalkan kepulihannya," katanya ketika berucap di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bukit Chabang pada malam Isnin yang dirasmikan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Saifuddin Nasution juga berkata, KDN berhasrat menjadikan PUSPEN sebagai institusi yang boleh memberi peluang kedua kepada individu tercicir dan tergelincir untuk mengikuti proses pemulihan berasaskan Model i-Pulih AADK yang merangkumi aspek akal, rohani serta jasmani.
Beliau berkata modul dan silibus yang diikuti di PUSPEN disusun dengan rapi bagi membolehkan klien didedahkan dengan ilmu serta pengetahuan dalam bidang kerohanian, pengurusan diri, kesihatan dan kemahiran vokasional. - Bernama