Sedia pertimbang wujudkan Menu Rahmah di IPTS - Salahuddin

Iklan
Salahuddin - Foto: SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sedia mempertimbang cadangan supaya diwujudkan Menu Rahmah di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sememangnya menjadi hasrat kerajaan untuk membantu seramai mungkin rakyat yang terbeban dengan kos sara hidup.

Iklan
Iklan

"Insya-ALLAH beri saya masa adakan libat urus (dengan pihak berkaitan) untuk wujudkan Menu Rahmah (di IPTS)," katanya.

"Sebelum ini, saya akui hanya sempat fokus kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) (dan) Insya-ALLAH pegawai saya akan mula menerokai (untuk wujudkan Menu Rahmah di IPTS)," katanya ketika Program Town Hall Rakyat yang berlangsung di Kompleks Media Karangkraf, pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang diajukan tetamu yang hadir pada program edisi keempat yang dihoskan Azhar Sulaiman berkenaan Menu Rahmah di IPT.

Sesi Town Hall Rakyat sebelum ini telah menampilkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Iklan

Februari lalu, kerajaan melalui kementerian yang diterajui Salahuddin memperkenal Menu Rahmah iaitu hidangan makanan pada harga RM5 dan ke bawah, khusus untuk golongan miskin tegar.

Menu yang diperkenal itu merangkumi nasi, ayam atau ikan dan sayur dengan mendapat kerjasama Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia dan Persatuan Pengusaha Tomyam Malaysia.

Program yang bertujuan untuk membantu meringankan beban rakyat tersebut turut diperluas ke beberapa IPTA dan mendapat kerjasama pengusaha restoran makanan segera.