OKU ialah orang kuat usaha, bukan orang kurang upaya

Iklan
Golongan OKU adalah minoriti, namun ia bukan tiket untuk meminggirkan mereka - Gambar hiasan 123RF

PADA petang minggu lalu, Merak Jalanan pergi mengurut kaki dengan seorang cacat penglihatan.

Kami larut bersembang itu ini. Katanya, dunia ini kadangkala tak adil. Dilahirkan tanpa boleh melihat sejak kecil, menjadikan dirinya dan rakan yang senasib diperkecilkan oleh manusia sempurna.

Iklan
Iklan

"Bila mereka tahu kami OKU (orang kurang upaya), kenderaan e-hailing reject kami. Nak naik bas, banyak bas tak berhenti. Naik teksi pula kena caj berlebihan, dia pusing lama entah ke mana, sedangkan tempat kami nak pergi itu, hanya lima hingga 10 minit,” ceritanya.

Tentang kemudahan awam, wanita itu menggelengkan kepalanya. Ya, kumpulan OKU adalah minoriti, namun bukan tiket untuk meminggirkan mereka.

Iklan

Tak mahu mengemis meminta simpati, mahu berusaha untuk berniaga, malangnya permohonan diperam.

Apa lagi perlu dibuat, soal wanita itu lagi? Beritahu beliau, golongan OKU rata-ratanya tidak malas, tapi jemu dengan diskriminasi tidak berkesudahan.

Iklan

Setiap butir aksara yang penuh emosi itu membuatkan Merak Jalanan terkenang kembali beberapa negara yang pernah dilawati sebelum ini.

Antaranya seperti di Amerika Syarikat, Taiwan, Korea, Jepun, Singapura, Dubai termasuk Qatar yang memberi segenap infrastruktur lengkap kepada OKU.

Paling terbaik bagi Merak Jalanan adalah bagaimana republik Taiwan menyiapkan teknologi khas memudahkan penduduk OKU menaiki bas. Pemerintah di sana menganggap hak golongan OKU sama dengan manusia normal.

Merak Jalanan tak pasti adakah 'adaptasi' layanan mesra OKU yang dilaksanakan di negara luar boleh diimplementasikan di Malaysia?

Merak Jalanan pulang dengan hati yang berbolak-balik. Kata-katanya yang berbunyi:"kami OKU bukan bermakna kami orang kurang upaya, tetapi kami orang kuat usaha” terus melekat dalam minda sehingga saat ini.