KOTA BHARU - Tiada masalah serius yang berlaku di sebuah pasar raya di bandar ini seperti yang tular di media sosial akibat ribut kuat petang Isnin.
Jurucakap pasar raya itu memaklumkan, hanya beberapa keping bumbung yang terjatuh akibat angin kuat dan kini dalam proses penyelenggaraan pihak pengurusan.
Menurutnya, pasar raya itu juga dibuka seperti biasa hari ini (Selasa).
"Orang ramai juga boleh membeli-belah seperti biasa dan tidak perlu bimbang selepas melihat situasi yang tular di media sosial," katanya.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian sebaik sahaja pasar raya dibuka mendapati tiada penutupan bahagian tertentu dilakukan pihak pengurusan malah peniaga sedang membuat persiapan perniagaan.
Keadaan persekitaran juga bersih dan orang ramai dilihat memasuki pasar raya untuk membeli barangan keperluan dan menikmati minum pagi.
Sebelum ini tular di media sosial memaparkan tingkat dua sebuah pasar di sini dimasuki air laju dari atas bumbung dan ada kawasan digenangi air.