Sarjan didakwa minta suapan supaya tak ambil tindakan

Iklan
Gambar hiasan

SHAH ALAM - Seorang polis trafik berpangkat sarjan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas dua pertuduhan meminta suapan agar tidak diambil tindakan bagi kesalahan menggunakan kenderaan tiada permit untuk tujuan perdagangan barang.

Mohd Arun Shah Syazwan, 31, yang bertugas di pejabat bahagian trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak (IPD Gombak) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Iklan
Iklan

Bagi kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa secara rasuah meminta bagi dirinya daripada dua lelaki wang tunai berjumlah RM800 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang melakukan kesalahan menggunakan kenderaan tidak memiliki permit untuk tujuan perdagangan barang di pejabat bahagian trafik, IPD Gombak, Gombak, sini pada 1 Disember 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Iklan

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 13 Julai ini.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Aliff Shaharuzaman, manakala tertuduh diwakili peguam, Effa Ruzanna Anuar. - Bernama