Warga emas tinggal seorang diri cedera disamun

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

BESUT - Seorang warga emas yang tinggal bersendirian patah gigi dan terseliuh tangan kanan selain terpaksa menanggung kerugian RM2,150 setelah disamun seorang lelaki dalam kejadian di Kampung Bukit Kenak, di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa yang berusia 68 tahun didatangi seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang dipercayai masuk ke dalam rumah berkenaan melalui pintu hadapan yang tidak berkunci.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, ketika kejadian, mangsa yang mengalami masalah penglihatan dan pendengaran atas faktor usia ketika itu tinggal seorang diri sebelum didatangi suspek dari arah belakang.

"Suspek bertindak menutup mulut dan menolak mangsa sehingga terjatuh menyebabkan mangsa mengalami kecederaan.

Iklan

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Besut menahan seorang lelaki tempatan yang positif dadah jenis methamphetamine.

"Hasil siasatan suspek juga mempunyai beberapa rekod lampau melibatkan penyalahgunaan dadah.

Iklan

"Pihak polis juga berjaya merampas wang tunai bernilai RM500 serta beberapa butir pil dipercayai dadah," ujarnya.

Menurut Abdul Rozak, laporan berhubung kejadian dibuat pada hari sama dan suspek telah direman selama tujuh hari bermula Selasa untuk membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan semasa melakukan rompakan.

"Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan diri serta harta benda agar tidak berlaku kejadian tidak diingini.

"Kerjasama dengan pihak polis diperlukan bagi membendung dan membanteras kegiatan jenayah," katanya.