Mahu ikut jejak tok wan jadi pendakwah: Cucu Abu Hassan Din

Iklan
Muhammad Anwar

KUALA LUMPUR - Cucu Allahyarham Datuk Seri Abu Hassan Din Al Hafiz berhasrat mengikut jejak datuknya menjadi seorang pendakwah yang disegani.

Muhammad Anwar Mohamad Yusri, 17, yang belajar di Maahad Tahfiz al-Quran al-Imam an-Nawawi (MATIN) di Kangar, Perlis berkata beliau mahu menyambung legasi datuknya menyumbang dalam bidang agama.

Iklan
Iklan

"Tok Wan gembira apabila saya menyuarakan hasrat untuk belajar dalam bidang agama seperti dia dan jika ada masa terluang dia akan melawat saya di sekolah.

"Jika diizinkan ALLAH SWT, saya ingin menyambung legasi dia dalam bidang agama ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediaman Allahyarham di Batu Muda di sini, hari ini.

Iklan

Muhammad Anwar yang akan mengikuti pembelajaran di luar negara tahun depan berkata datuknya itu sering memberi nasihat supaya beliau belajar agama dengan bersungguh-sungguh.

"Tok Wan seorang yang tegas... memang sedih apabila dapat tahu dia pergi beberapa hari sebelum Ramadan.

Iklan

"Kalau bulan Ramadan, Tok Wan akan jadi imam solat terawih dan dia selalu hantar makanan kepada saya di sekolah,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Yusri Abu Hassan, 45, berkata bapanya sentiasa berpesan supaya beliau adik beradik solat dengan sempurna untuk mendapat keredhaan Allah.

"Walaupuh wajah ayah dilihat sedikit garang berbanding abang-abangnya tetapi dia seorang yang suka bergembira dan berjenaka dengan kami,” katanya.

Allahyarham Abu Hassan, 73, disahkan meninggal dunia kira-kira 7.30 pagi tadi selepas rebah dan tidak sedarkan diri selepas menunaikan solat subuh.

Jenazah akan dibawa ke Masjid Saidina Hamzah untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Selasih selepas Asar. - Bernama