Anak penyu karah dijumpai mati di perairan Pulau Kapas

Iklan
Seekor anak penyu jantan spesies karah ditemukan mati di perairan Pulau Kapas pada Isnin.

MARANG - Seekor anak penyu karah jantan yang dikatakan antara spesies jarang dijumpai ditemukan mati di perairan Pulau Kapas, di sini pada Isnin.

Menurut Sukarelawan Persatuan Pemuliharaan Penyu Pulau Kapas, Fildani Noor, haiwan itu dijumpai terapung kira-kira jam 1.40 petang oleh sepasukan sukarelawan.

Iklan
Iklan

Fildani berkata, penyu berkenaan dipercayai baru sahaja mati kerana bangkainya masih elok dan reput.

"Hasil pemeriksaan awal terhadap bangkai anak penyu itu mendapati bahagian lehernya membengkak dan karapasnya pula hilang.

Iklan

"Bangkai itu pula telah kami lupuskan dengan menanamnya di Pantai Panjang, Pulau Kapas semalam," katanya ketika dihubungi pada pada Selasa.

Jelasnya, kematian penyu itu memberi kesan memandangkan spesies tersebut jarang dapat ditemui di perairan pulau itu.

Iklan

"Kali terakhir sukarelawan kami terserempak dengan spesies penyu Karah ialah pada awal tahun ini dan sebelum itu pada 2019.

"Kami bimbang jika bangkai ini adalah bangkai penyu sama yang kami jumpa ketika menjalankan aktiviti snorkeling sebelum ini," katanya.

Ujarnya, ketika ini, hanya penyu jenis agar biasanya dijumpai di perairan Terengganu manakala spesies lain seperti penyu karah dan penyu lipas jarang ditemui kebelakangan ini.

Selain itu, penyu belimbing yang menjadi ikon negeri Terengganu pula merekodkan pendaratan terakhir pada tahun 2017 dan kini tidak lagi dilihat mendarat di perairan negeri itu.