'Healing The Invisible Wound' dapat sambutan luar biasa

Iklan
Roziyana menunjukkan buku 'Healing The Invisible Wound' yang dijual di reruai Kumpulan Karangkraf sempena PBAKL di WTC.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Buku 'Healing The Invisible Wound' terbitan Karya Bestari menjadi naskhah terlaris di reruai Kumpulan Karangkraf sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL).

Penolong Pengurus Besar Jualan Grup Buku Karangkraf, Roziyana Omar berkata, naskhah yang menawarkan solusi terapi untuk kesihatan mental itu merupakan yang pertama seumpamanya dipamerkan di reruai berkenaan selepas dilancarkan baru-baru ini.

Iklan
Iklan

"Buku ini memfokuskan al-Quran dan hadis sebagai panduan dan terapi kepada mereka yang sedang berdepan dengan pelbagai cabaran hidup.

"Isu yang dipersembahkan juga dekat di hati manusia dan amat sesuai dengan situasi kehidupan masyarakat pada masa kini," katanya ketika ditemui di PBAKL ke-40 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Selasa.

Iklan

Naskhah merupakan hasil gabungan penulisan seorang Pakar Psikologi Organisasi, Dr Alizi Alias dan dua Pakar Psikiatri, Dr Rozanizam Zakaria serta Dr Ahmad Rostam Md Zin itu hanya dijual di reruai Kumpulan Karangkraf sempena pesta buku berkenaan.

Ia akan mula berada dipasarkan secara meluas bermula minggu depan.

Naskah baharu al-Quran TAHFIZ dan TAHFIZ Junior dijual pada harga RM50 hingga RM64 di reruai Kumpulan Karangkraf sempena PBAKL di WTC.

Iklan

Dalam pada itu Roziyana turut memaklumkan, novel genre baharu Karangkraf Literature (K-Lit) terbitan Alaf 21 Sdn Bhd turut mendapat sambutan daripada pengunjung PBAKL kali ini.

Dilancarkan pada Ahad lalu, lima novel rintis K-Lit iaitu Rahsia Paling Rahsia (Bahruddin Bekri); Senaskhah Hidup (Azzah AR); Leluhur (Arman Jazee); Ekspres Jupiter (Riley Fizan) dan Sayap Berlian (Nurkariema) turut tersenarai sebagai naskhah laris dijual.

"Kebiasaannya kita menerbitkan novel cinta yang 'cliche' untuk pembaca, namun dengan lima novel K-Lit ini, pembaca akan merasai pengalaman berbeza kerana ia ditulis mengikut acuan drama Korea yang mempunyai ciri-ciri Malaysia," katanya.

Sementara itu Roziyana berkata, al-Quran TAHFIZ dan TAHFIZ Junior terbitan Karya Bestari merupakan terbitan baharu diperkenalkan khusus kepada para hafiz bagi membantu golongan itu menghafal ayat-ayat suci.

Beliau berkata, al-Quran tersebut dilengkapi dengan lima blok warna, kata kunci, motivasi serta tema ayat bagi memudahkan mereka mempelajari teknik mudah membaca dan menghafaz.

"Al-Quran ini khusus untuk mereka yang mahu menghafal dan ia disertakan juga dengan terjemahan bagi setiap ayat.

"TAHFIZ Junior pula khusus untuk golongan kanak-kanak yang baru belajar menghafal menggunakan teknik blok warna. Setiap teknik disertakan pada setiap helaian naskhah," jelasnya.

Reruai Kumpulan Karangkraf di PBAKL menyediakan pelbagai jenis bahan bacaan untuk semua golongan masyarakat yang dijual pada harga serendah RM10 selain potongan harga sehingga 20 peratus kepada pelanggan.