KUANTAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang berjaya mengutip RM993,770 hasil lelongan kenderaan sita dalam lelongan awam pada Selasa.
Lelongan siri pertama tahun ini melibatkan 100 kenderaan dan 94 daripadanya berjaya dilelong dengan bidaan tertinggi RM50,100 bagi kereta jenis Subaru Imprezza (bidaan permulaan RM11,300).
Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, lelongan terendah bernilai RM200 bagi kereta jenis Proton Saga 1.3s iaitu kenderaan 'scrap' yang tidak boleh dilesenkan.
Menurutnya, lelongan kali ini membabitkan 33 kenderaan berdaftar dengan 22 daripadanya boleh dilesenkan dan 11 lagi tidak boleh dilesenkan.
"Daripada kenderaan berdaftar ini, 28 buah berjaya dilelong pada lelongan awam hari ini (Selasa).
"Bagi kenderaan tidak berdaftar atau kenderaan klon, sebanyak 67 ditawarkan untuk bidaan dan 66 buah berjaya dilelong.
"Kenderaan yang terlibat dalam lelongan ini terdiri 42 buah kereta, 27 kenderaan pelbagai guna (MPV), 24 motosikal, dua van, dua kenderaan 'pick up' dan masing-masing sebuah lori, penggerak utama dan semi treler," katanya.
Siri lelongan awam itu bermula pada jam 10 pagi di Dewan Serbaguna Kompleks JPJ Negeri Pahang, Bandar Indera Mahkota, di sini.
Seramai 124 pembida hadir dengan 154 naskhah buku lelongan berjaya dijual.
Kamarul Iskandar berkata, pada lelongan awam siri kedua tahun lalu, JPJ Pahang berjaya memperoleh RM709,500 hasil lelongan 60 kenderaan sita dengan lelongan tertinggi iaitu RM42,000 bagi kereta jenis Mercedes SLK200.