SUNGAI BESAR - Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) disaran bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di negeri ini bagi membantu dan mempercepatkan status naik taraf kepada majlis perbandaran.
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Selangor, Mohamad Zahri Samingon berkata, MDSB satu-satunya PBT di negeri ini yang belum dinaik taraf sebagai majlis perbandaran.
"Pada masa ini, Sabak Bernam satu-satunya PBT bertaraf majlis daerah di Selangor kerana yang terbaru ialah Majlis Perbandaran Hulu Selangor dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor," katanya semasa ditemui pada Majlis Penghargaan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di Dewan Seri Bernam, di sini pada Selasa.
Mohamad Zahri berkata, MDSB sewajarnya mengambil pengalaman PBT lain dalam usaha meningkatkan status perbandaran yang dijangka diperoleh pada 2025 nanti.
Ujar beliau, sesebuah PBT berstatus majlis daerah memerlukan beberapa kriteria untuk dinaik taraf sebagai sebuah majlis perbandaran.
"Antaranya mempunyai pendapatan dari sumber kewangan yang mapan dengan hasil tahunan tidak kurang dari RM20 juta.
"Pada masa ini, pendapatan MDSB telah mencapai sasaran, cuma kriteria penduduk hanya mencapai 120,000 berbanding 150,000 ditetapkan untuk sesebuah perbandaran," kata beliau.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri sedang berusaha memajukan daerah Sabak Bernam melalui Projek Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA).
Mohamad Zahri memberitahu, pelaksanaan SABDA menerusi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) diyakini menjana peluang pekerjaan sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi di daerah tersebut.
"SABDA ini akan memberi peluang pekerjaan kepada orang luar untuk berhijrah ke daerah ini dan ia sekali gus dapat meningkatkan jumlah penduduk selain pembinaan Persisiran Pantai Barat (WCE) dan taman perumahan lain.
"Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan jumlah penduduk dan sasaran 150,000 penduduk dapat dicapai sekali gus mampu memenuhi kriteria majlis perbandaran" katanya.