SHAH ALAM - Orang ramai diingatkan tidak mudah terpedaya dengan dakwaan penggunaan vape kurang mudaratnya berbanding rokok apatah lagi bagi mengurangkan ketagihannya.
Menurut Yang Dipertua Ikram Health Malaysia, Dr Mohd Afiq Mohd Nor, masih tiada bukti saintifik yang menyokong dakwaan berkenaan kerana kedua-dua produk tersebut mempunyai bahaya tersendiri.
"Sehingga sekarang tiada mana-mana syarikat pengeluar berkaitan, daftarkan produk mereka sebagai satu alat untuk berhenti merokok.
"Bahkan paling bahaya adalah apabila kita lihat pengguna ini menggunakan kedua-dua produk tersebut. Tak cukup dengan vape atau rokok elektronik, mereka kembali kepada penggunaan rokok konvensional.
Beliau berkata demikian semasa Wacana Sinar ke-399 bertajuk Generasi Penamat Rokok - Daripada Tiga Perspektif, pada Selasa.
Turut serta sebagai panelis ialah pempengaruh media sosial, Dr Mohd Izzar Anwari Abdul Khani dan pakar ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Wency Bui Kher Thinng.
Dalam pada itu, Mohd Afiq menambah, masih belum ada mana-mana pusat terapi ketagihan merokok yang menggunakan vape bagi tujuan terapi untuk ketagihan merokok.
"Banyak perkara perlu dikaji, bagaimana penggunaannya, berapa miligram (mg) kena ambil? Jadi, sebenarnya masih belum ada bukti kajian mengesahkannya,” ujar beliau.