PADA 24 Mei lalu, seorang lelaki bertindak kejam membunuh dan membakar teman wanitanya di sebuah kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Limau, Sungai Besar, Selangor selepas berlaku perselisihan faham berkaitan menyembunyikan kehamilan luar nikah mangsa berusia 21 tahun.
Terbaharu, pada 29 Mei, seorang pembantu kedai ditikam sebanyak lapan kali oleh bekas tunangnya di sebuah pusat beli-belah di Kota Kinabalu akibat cemburu dan tidak berpuas hati pertunangan diputuskan.Apa perasaan kita bila membaca berita ini?
Jika kita seorang manusia yang waras, rasional dan mempunyai hati dan perasaan, pastinya akan marah, geram dan sakit hati dengan tindakan dua lelaki durjana ini.
Entah apa yang merasuk jiwa mereka sehingga sanggup memperlakukan mangsa sedemikian rupa seperti nyawa sudah tiada nilai lagi.
Malah tidak keterlaluan untuk dikatakan mereka ini tidak layak lagi digelar manusia.
Apapun alasan, kita tidak boleh menerima perbuatan kejam dan keji seperti ini.
Pakar psikiatri berpandangan antara punca meningkatnya kejadian ganas adalah disebabkan membiarkan tekanan perasaan dihadapi berlarutan menjadi penyakit mental hingga mendorong mereka melakukan perbuatan kejam.
Isu atau masalah kesihatan mental serta tekanan emosi antara isu kesihatan awam yang menjadi semakin penting terutama selepas pandemik Covid-19.
Hal ini dibuktikan apabila masalah kesihatan mental menunjukkan trend peningkatan dengan statistik individu yang mendapatkan sokongan menerusi Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) iaitu inisiatif di bawah Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meningkat lima kali ganda bagi 2022 berbanding 2020.
Statistik Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2015 mendedahkan satu per tiga rakyat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas berdepan masalah mental.
Pada 2019 pula, KKM merekodkan 2.3 peratus orang dewasa dan 9.5 peratus kanak-kanak berusia 10-15 tahun mengalami masalah mental dan KKM mengunjurkan peratusan tersebut dijangka meningkat.
Isu kesihatan mental dan tekanan emosi menjadi antara punca utama yang menjejaskan kesejahteraan fizikal dan sosial seseorang individu serta perlu dipandang serius.
Daripada sembilan teras Dasar Keselamatan Negara 2021-2025, isu kesihatan mental ini merujuk kepada Teras yang ke-8 iaitu Keselamatan Rakyat dan salah satu daripada 153 item dalam Matriks Keselamatan Negara adalah Pengukuhan Kesihatan Minda dan Ketahanan Rakyat.
Hakikatnya, insiden seperti ini membabitkan aspek sikap dan tingkah laku seseorang individu yang mungkin sudah sebati dalam dirinya sekali gus sukar diubah.
Sikap seperti mementingkan diri, terlalu cepat marah dan mudah naik angin serta tidak pedulikan nilai-nilai kemanusiaan dilihat mula menguasai anggota masyarakat kita.
Individu seperti ini memang sukar dididik melainkan diberikan pengajaran yang sewajarnya melalui hukuman yang setimpal.
Penulis juga risau apakah sikap dan tingkah laku ini turut berpunca daripada situasi kemajuan yang dicapai oleh negara ini yang tidak seimbang dengan kemajuan nilai-nilai kemanusiaan, adab dan kesusilaan.
Dalam sesetengah kes, pesalah sebelumnya mungkin bukanlah seorang penjenayah, namun mungkin hanya kerana ingin mempertahankan ego, mereka tiba-tiba menjadi begitu mudah hilang pertimbangan sehingga terlibat dalam kes menyebabkan kecederaan atau kematian.
Akibat daripada kesalahan itu amatlah buruk. Ia bukan sahaja akan menyebabkan masa depan si pesalah menjadi gelap gelita, malah turut memberi kesan kepada seluruh ahli keluarga mereka.
Dalam kehidupan, masalah atau pertikaian pasti akan berlaku di mana-mana atau bila-bila masa sahaja sama ada sesama keluarga, jiran tetangga atau dengan pihak lain.
Paling penting ialah bagaimana permasalahan itu diselesaikan. Bertindak secara melulu semata-mata untuk mempertahankan ego sudah tentu boleh menjerumuskan seseorang kepada perbuatan-perbuatan yang akan membuatkan kita menyesal seumur hidup.
Untuk itu, segala masalah kecil yang berlaku tidak usahlah diperbesar-besarkan. Selesaikanlah dengan cara baik.
Ketepikan ego, duduklah berbincang kerana sekiranya tidak ditangani dengan sempurna, ia boleh menjadi barah sehingga mencetuskan kejadian-kejadian yang tidak diingini.
* Azie Yahaya ialah Editor Pengisian Sinar Harian Online