Resah yuran tadika terlalu tinggi

Iklan
Sebahagian besar ibu bapa golongan sederhana di Lembah Klang tidak berpeluang menghantar anak­-anak ke tadika kerajaan.

KOS sara hidup bandar yang semakin tinggi menjadi cabaran besar buat warganya lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai anak-anak yang sudah bersekolah.

Perbelanjaan yuran untuk tadika sahaja mencecah hampir separuh daripada pendapatan isi rumah. Namun, disebabkan tiada pilihan ibu bapa terpaksa menghantar anak ke tadika swasta yang menelan kos agak tinggi.

Iklan
Iklan

Ikuti laporan wartawan NURHIDAYAH HAIROM berhubung luahan sebahagian besar ibu bapa golongan sederhana yang tersepit dengan keadaan ini.

Sejumlah RM900 sehingga hampir RM4,000 antara kos yang perlu ditanggung ibu bapa warga kota dan golongan berpendapatan sederhana yang tersepit dengan kos perbelanjaan bagi membayar yuran pendaftaran serta tahunan untuk seorang anak yang bersekolah tadika di Lembah Klang.

Iklan

Tinjauan Sinar Harian mendapati, kos tersebut belum termasuk yuran bulanan yang mencecah sehingga RM400 seorang hanya untuk sesi persekolahan biasa, iaitu separuh hari tanpa melibatkan kos jagaan harian.

Ibu bapa mencadangkan kerajaan menambah jumlah kemudahan tadika dan peruntukan subsidi yuran tadika kepada golongan sederhana khususnya di bandar-bandar besar. - Gambar hiasan

Pengurus jualan, Muhammad Safiq Mohd Noor, 34, berkata, dia menanggung yuran pendaftaran tadika berjumlah RM1,200 dengan yuran bulanan sebanyak RM400 untuk seorang anak berusia lima tahun.

Iklan

Menurutnya, sebagai golongan M40, kadar tersebut memberi kesan terhadap simpanan masa depan untuk keluarga.

"Golongan M40 selalunya tersepit. Golongan seperti kami tidaklah begitu kaya dan tidaklah terlalu susah. Tapi kalau yuran dapat dikurangkan, kita pun sedikit lega dan boleh gunakan duit tu untuk simpanan pendidikan anak-anak dalam jangka masa panjang.

"Bagi saya, bayaran bulanan masih berpatutan walaupun saya berharap untuk dapatkan harga yang lebih murah. Tapi, yuran tahunan agak mahal dan membebankan. Memandangkan saya mempunyai dua orang anak yang bersekolah, waktu awal sesi persekolahan agak membebankan untuk membuat persiapan yuran, kelengkapan sekolah dan sebagainya.

"Ambil contoh tahun lepas, kedua-dua anak saya masuk di tadika. Yuran tahunan mencecah RM3,000 dan yuran bulanan mencecah RM1,000. Itu belum termasuk yuran untuk sukan tahunan, lawatan sekolah, program akhir tahunan dan caj jemput anak lewat,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Bagi pembantu pustakawan, Mohd Shahril Jalaludin, 36, juga terpaksa memilih tadika swasta untuk anaknya disebabkan tersepit dengan pilihan yang ada untuk penempatan di tadika bawah agensi kerajaan.

"Yuran pendaftaran tadika anak saya untuk separuh hari RM1,800 manakala untuk sepenuh hari mencecah RM3,600. Bagi yuran bulanan pula RM350 (separuh hari) dan RM650 (penuh).

"Caj ini pada saya memang agak tinggi tapi mungkin akan ada orang cakap, ‘kalau rasa mahal masuk tadika kerajaan’ tapi kita sebagai ibu bapa mesti hendak yang terbaik untuk anak kita.

"Tadika kerajaan juga yang layak sahaja dapat masuk. Mereka tapis melalui penyata gaji ibu bapa. Ini membuatkan ibu bapa tersepit dan terpaksa hantar anak ke tadika swasta walaupun harga agak tinggi. Kita sebagai ibu bapa kena berusaha lebih untuk menampung kos yuran anak,” katanya.

Sementara itu, eksekutif jualan, Aziana Talib, 40, pula membelanjakan RM2,890 untuk pendaftaran seorang anaknya di tadika dengan bayaran bulanan sebanyak RM768 namun pakej termasuk jagaan harian.

"Bagi saya harganya agak mahal, tapi disebabkan tiada pilihan dan perlukan pengasuh sehingga waktu petang, kena hantar juga sehingga ibu bapa habis waktu bekerja,” katanya.

Tingkat kemudahan tadika, subsidi untuk golongan sederhana

Sementara itu, kerajaan disaran menambah jumlah kemudahan tadika dan peruntukan subsidi yuran tadika kepada golongan sederhana di negara ini khususnya di bandar-bandar besar.

Dari kiri: Faridah, Noor Farra

Pengurus Pentadbiran, Faridah Mat Rashid, 34, berkata, dengan penambahan kemudahan tersebut, lebih ramai golongan dapat menikmati kemudahan tersebut sekali gus membantu mengurangkan kos sara hidup tinggi di bandar.

"Saya berpendapat yuran tadika paling maksimum untuk hidup selesa di bandar ialah RM300. Jadi, saya menggesa kerajaan untuk memperbanyakkan lagi tadika kerajaan seperti Kemas, Tadika Perpaduan dan dan Taska Permata untuk memberi peluang kepada lebih ramai ibu bapa pelbagai latar belakang menghantar anak-anak mereka.

"Selain itu, lebihkan lagi subsidi pendidikan untuk yuran tadika-tadika swasta supaya harga yuran tahunan dan bulanan dapat dikurangkan,” katanya.

Pentadbir pengurusan, Noor Farra Kamarulzaman, 39, juga berharap kerajaan dapat mengambil langkah sewajarnya bagi mengatasi dilema ibu bapa dengan meneliti semula syarat-syarat ditetapkan untuk kemasukan ke tadika bawah agensi kerajaan.

Katanya, kerajaan juga wajar menawarkan lebih banyak kemudahan tambahan di tadika termasuk jagaan harian dengan caj yang lebih rendah sebagai pilihan terbaik kepada ibu bapa yang benar-benar perlu mengehadkan perbelanjaan bulanan mereka.

"Saya bayar RM900 untuk pendaftaran tadika anak dengan yuran bulanan RM140. Yuran pendaftaran agak mahal. Sekiranya yuran pendaftaran bawah RM500 adalah memadai untuk selesa berbelanja bagi sara hidup bandar.

"Jadi, mungkin kerajaan boleh pertimbangkan untuk wujudkan tadika khas bagi golongan sederhana dengan kadar yuran yang lebih berpatutan,” katanya.