Pemeriksaan berkala di Bazar Ramadan, elak keracunan: Dr Afif

Iklan
Dr Afif Bahardin

BUTTERWORTH - Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang akan melakukan pemeriksaan berkala di bazar-bazar Ramadan bagi memastikan penjual mematuhi kualiti dan tahap kebersihan yang ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin berkata, pemeriksaan mengejut juga akan dibuat di semua bazar Ramadan di negeri ini.

Iklan
Iklan

"Selalunya waktu bulan puasa ni kita takut tentang keselamatan makanan di bazar-bazar Ramadan. Jika makanan dan minuman yang disediakan tidak baik, akan menyebabkan keracunan makanan.

"Mula sahaja bazar Ramadan, mereka akan terus gerakkan pegawai-pegawai untuk buat pemeriksaan, ‘spot check’ di bazar-bazar Ramadan yang ada," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Sumbangan Ehya' Ramadan kepada masjid-masjid dan surau-surau Jumaat di negeri ini oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow, di sini hari ini.

Iklan

Sementara itu, mengenai sama ada kerajaan negeri menetapkan waktu tertentu bagi kedai makan dan bazar Ramadan beroperasi sepanjang Ramadan, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang turut hadir pada sidang media itu berkata tidak ada garis panduan mahupun arahan berhubung perkara itu.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya menggalakkan pengusaha makanan melambatkan waktu mula operasi kepada pukul 3 dan 4 petang.

Iklan

Terdahulu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dalam ucapannya berkata sebanyak 231 buah masjid dan surau Jumaat di Pulau Pinang menerima sumbangan keseluruhannya berjumlah RM240,000.

Beliau berkata, agihan sumbangan itu melibatkan pemberian sebanyak RM5,000 kepada Masjid Negeri, RM2,000 kepada setiap lima buah masjid daerah serta RM1,000 masing-masing kepada 207 buah masjid kariah, sembilan buah masjid bukan kariah (masjid yang tidak mengadakan solat Jumaat) dan sembilan buah surau Jumaat.

"Sumbangan tersebut sebagai tanda penghargaan dan rasa terima kasih dari kerajaan negeri kepada semua ahli jawatankuasa kariah masjid dan surau yang telah menjadi tulang belakang kerajaan negeri dalam memperjuangkan syiar Islam di negeri ini," katanya.

Kon Yeow berkata kerajaan negeri akan terus memainkan peranan dalam memastikan tiada mana-mana kaum yang akan terpinggir seperti mana yang selalu dibangkitkan oleh pihak tidak bertanggungjawab. - Bernama