PEKAN - Ahli UMNO Pekan digesa supaya bersama-sama dalam menangani kemelut dalaman parti bagi memastikannya parti ketuanan Melayu ini kekal relevan dalam arena politik negara.
Ketuanya, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, kebersamaan itu perlu dimulakan segera dengan melakukan perubahan secara total bermula dari pusat pentadbiran UMNO di peringkat bahagian masing-masing.
Menurutnya, ia termasuklah hal-hal berkaitan isu dalaman yang perlu semua pemimpin dan akar umbi UMNO tangani secara ikhlas serta jujur.
"Kita gagal kerana masih terdapat perbalahan dan sabotaj yang berleluasa di antara kita. Masih terdapat usaha jatuh menjatuhkan di antara kita walau UMNO hari ini semakin lemah. Kita gagal meletakkan perjuangan UMNO demi membela nasib agama, bangsa, negara sebagai keutamaan.
"Masih ada di antara kita meletakkan perjuangan peribadi lebih utama dari perjuangan UMNO. Inilah masalah kita, isu dalaman kita yang perlu kita tangani sebaik mungkin jika mahu UMNO kembali diyakini rakyat," katanya pada Rabu.
Beliau menjelaskan, kebangkitan, kejatuhan dan masa depan parti UMNO terletak di tangan kepimpinan dan akar umbi UMNO di peringkat bahagian.
Ujarnya, Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2013, UMNO memenangi 88 kerusi dan tahun 2018 pula memenangi 54 kerusi.
"Kalau kita lihat pengurangan 34 kerusi daripada PRU 2013 dan pada 2022, kita ditinggalkan dengan hanya 27 kerusi dari 106 kerusi yang dipertandingkan.
"Apakah nasib UMNO pada PRU akan datang? Ini perlu kita fikirkan sedalam-dalamnya," kata beliau lagi.
Mohammad Fakhruddin berkata, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail secara konsisten menekankan mauduk iaitu ‘Kita Orang Parti’ kepada semua jentera dan ahli UMNO.
Justeru menurutnya, semua pihak perlu meletakkan kepentingan parti lebih penting bagi menjadikan UMNO terus kekal relevan.
"Kita tiada pilihan selain kembali kepada perjuangan asal kita. Kita perlu bertaut semula, bekerja keras, buang yang keruh, saling bantu-membantu, jauhilah kepentingan peribadi.
"Saya minta semua AJK (Ahli Jawatankuasa) dan petugas UMNO Bahagian agar sentiasa memantau luahan rakyat di media-media sosial. Dengar, ambil berat dan berusaha atasi masalah mereka sebaik mungkin.
"Berikan maklumat tepat kepada mereka. Malah ini juga antara perkara penting yang sering ditekankan Datuk Seri Najib Tun Razak, kesayangan kita," katanya.
Selain itu, Mohammad Fakhruddin menambah, UMNO harus kembali menjadi juara dalam bantu rakyat dan perlu konsisten membela maruah bangsa serta kesucian agama islam di samping terus utamakan keharmonian rakyat pelbagai kaum.
"Kita mampu lakukannya dengan semangat dan iltizam baharu - ‘kita Orang Parti'," jelas beliau.