CARACAS - VENEZUELA. Presiden Venezuela, Nicolas Maduro mendakwa satu cubaan rampasan kuasa oleh puak kecil tentera berjaya digagalkan.
Perkara itu dimaklumkan ketika beliau berucap di stesen TV lewat malam tadi bersama pegawai kanan tentera dan pemimpin politik termasuk Menteri Pertahanan Vladimir Padrino dan Timbalan Presiden Diosdado Cabello.
"Ada pihak cuba untuk menggulingkan kerajaan yang sah. Saya mahu mengucapkan tahniah kepada Perintah Tinggi Tentera atas keberaniannya mempertahankan keamanan," katanya.
Menurutnya, pemimpin pembangkang Juan Guaido dan Leopoldo Lopez sengaja mencetuskan konfrontasi yang mungkin akan dijadikan sebagai alasan untuk campur tangan tentera asing.
"Tetapi, rancangan itu tidak berjaya kerana pasukan tentera yang setia berjaya menghalang pemberontakan itu dalam tempoh beberapa jam pada awal pagi semalam," ujarnya lagi.
Awal pagi semalam, puak kecil tentera Venezuela diiringi Guaido bertempur dengan tentera ketika protes antikerajaan yang bertukar ganas di Caracas.
Lebih 100 dilaporkan turut cedera dalam kejadian tersebut.
Menerusi akaun media sosial, Guaido yang diiktiraf sebagai presiden sementara oleh kebanyakan negara antarabangsa termasuk Amerika Syarikat menggesa penyokongnya mengadakan bantahan jalanan sekali lagi selepas memaklumkan beliau kini berada di fasa terakhir untuk menggulingkan Maduro.
"Hari ini, Venezuela mempunyai peluang untuk melakukan pemberontakan secara aman menentang pemimpin zalim," tegasnya. - Agensi