KLANG – Seramai 176,883 suri rumah dilindungi Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) sejak ia dilancarkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sejak Disember tahun lalu.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM167,000 faedah SKSSR telah dibayar kepada penerima yang mencarum kepada skim berkenaan.
Menurutnya, ini membuktikan SKSSR menjanjikan perlindungan buat suri rumah dan keluarga mereka sekiranya mereka ditimpa kemalangan, keilatan atau kematian berkaitan pengurusan rumah tangga.
"Bagaimanapun jumlah ini masih jauh dari sasaran 500,000 orang suri rumah untuk tahun ini.
"Saya minta semua suri rumah di bawah usia 55 tahun mendapatkan perlindungan SKSSR dan bagi para suami pula, saya menggesa mereka mencarum bagi pihak isteri masing-masing demi perlindungan dan kebajikan mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan kepada dua bekas pekerja yang mengalami keilatan pada Selasa.
Turut hadir pada program ziarah itu, Ahli Parlimen Klang, V. Ganabatirau; Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed; Pengarah PERKESO Selangor, Ismail Abi Hashim dan Pengurus PERKESO Klang, V. Mohanadas.
Beliau dalam pada itu turut menggalakkan pihak ketiga seperti badan-badan NGO dan syarikat swasta menaja caruman kepada suri rumah.
Sementara itu, dalam program ziarah di Kapar, Sivakumar turut menyampaikan faedah pencen ilat berserta alatan pemulihan seperti lampin dewasa, commode chair dan kerusi roda kepada P.Sokkayee, 54.
"Jemaah doktor telah mengesahkan Sokkayee menghidap keilatan atas masalah ‘degenerative kyphoscolisis’ yang membuatkan beliau tidak sesuai untuk bekerja dan layak menerima bayaran bulanan pencen ilat sebanyak RM550 sebulan sepanjang hayat,” jelasnya.
Bagi penerima kedua, bekas jurutera Matrix Flavours & Fragrances Sdn Bhd K. Gunasegaran, 42, turut menerima sumbangan commode chair, kerusi roda dan pembekalan tangki oksigen.
"Gunasegeran dirujuk ke jemaah doktor untuk penilaian dan disahkan mengalami keilatan dan menghidap ‘ischemic heart disease’ dengan ‘heart failure with reduced ejection fraction’, yang menyebabkan beliau tidak sesuai untuk melakukan pekerjaan dan layak menerima bayaran pencen ilat sebanyak RM2,751 sebulan sepanjang hayat,” jelas Sivakumar.
Difahamkan kedua-dua pekerja tersebut menerima faedah Perkeso kerana majikan mencarum untuk mereka di bawah Akta 4.
Di bawah Skim Keilatan Akta 4, seseorang pekerja berada dalam keilatan apabila mengalami suatu keuzuran yang berkekalan sama ada tidak boleh diubati atau tidak mungkin sembuh, serta tidak berupaya mencari nafkah.
Skim Keilatan memberi perlindungan 24 jam kepada pekerja dari keilatan atau kematian akibat dari sebarang sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.